Navigation


"Ramai manusia berjaya mencipta kejayaan tapi sedikit yang berjaya mencipta kebahagiaan"


Terima kasih kerana sudi melayari laman syarikat kami. Semoga mendapat manfaat dan informasi berguna buat para pengunjung...


KURSUS MENEROKA RAHSIA DIRI DI SHAH ALAM

01-02-2010 @ Isnin,

Alhamdulillah, pada Ahad, 31 Jan. 2010 telah berlangsung kursus MRD di Bilik Kuliah 1, Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah (MSSAAS) melibatkan 12 peserta, 9 lelaki dan 3 perempuan dari pelbagai latarbelakang.

Program bermula jam 9.30 pagi dan berakhir jam 6 ptg.

Menariknya, sebahagian peserta pernah mengikuti kursus ESQ 165 dan berpendapat MRD mampu mengukuhkan kefahaman dan penghayatan terhadap nilai-nilai yang dipelajari sebelum ini. Lebih penting lagi mereka mendapat pengisian dan amalan bersilsilah yang dapat membantu lagi proses mengenal diri dan Pencipta. Mereka akan mengesyorkan teman-teman seangkatan untuk menyertai MRD pada masa-masa akan datang.

Insya Allah, MRD seterusnya akan diadakan di Chukai, Kemaman pada Sabtu 6 Feb. nanti. Masih ada kekosongan bagi yang berminat. Manakala jadual kursus seterusnya akan dimaklumkan sedikit waktu lagi, insya Allah.

KEM SUHBAH GABUNGAN MADRASAH / MA'AHAD / RIBATH

01-02-2010 @ Isnin,

Kem Suhbah Gabungan yang julung kali diadakan ini telah berlangsung di Lagoona Resort, Cherating, Kuantan, Pahang pada 29-30 Jan baru-baru ini. Ia melibatkan seramai 80 pelajar dari Madrasah Siratol Mustaqim Kemaman, Ma’ahad Tahfiz Darul Uloom, Kemaman (35 orang) dan Ribath Al-Hidayah Al-Ghazaliyyah, Bt Buruk, Kuala Terengganu (27) yang kesemuanya berjumlah 142 pelajar.

Pihak kami telah diamanahkan untuk mengendalikan program tersebut dengan kerjasama Ikatan Pendidikan Tauhid Tasawuf (IPTAF).

Berita lanjut mengenai kem in boleh dirujuk ke Kem Suhbah Gabungan di Laman Iptaf.net.

Jadual Terkini Kursus MRD Kemaskini 22 Jan. 2010 !

22-01-2010 @ Jumaat,

Tarikh Hari Masa Tempat Hubungi
31 Jan. 2010 Ahad 9am-5pm Bilik Kuliah Masjid SSAAS, Shah Alam 016-3232554 (Pn. Rozita) / 013-3635451 (Che Rasmizan)
6 Feb. 2010 Sabtu 9am-5pm Pej IPTAF Kemaman, Chukai 019-9241197 (Yusof) Diskaun istimewa ditawarkan! Terhad.
  • Tempat terhad untuk 20 peserta sahaja (lelaki dan perempuan).
  • Program susulan dan bimbingan berterusan bagi yang berminat.

Poster di bawah adalah contoh maklumat mengenai kursus MRD yang akan diadakan pada 27 Dis. lalu.
Sila klik poster di bawah untuk imej yang lebih besar dan jelas.

Untuk maklumat lanjut, pertanyaan atau pendaftaran, sila sms @ tel 019-9241197 (Yusof) atau emel kpd irsyadtc@hotmail.com

Rangkuman Program

06-01-2010 @ Rabu,

Maaf, agak lama saya tak kemaskini laman ini. Cbuk sket...

Baru-baru ini, saya mengiringi Ustaz Mustaffa Kamal (Pengerusi IPTAF) dan Abi Razali (Pembimbing Lembah Klang) ke Aceh, Indonesia selama 3 hari dalam rangka bermesyuarat dengan pihak sekretariat di sana berkaitan "Majlis Silaturahim & Muzakarah Ulama' se-Asia Tenggara" yang akan diadakan di Meulaboh, Aceh Barat pada 9-10 Mac 2010 nanti. Berita dan gambar mengenainya boleh rujuk di Aceh-Meulaboh

Kemudian memenuhi beberapa sesi taklimat khas khususnya kepada para peserta rombongan tersebut, antaranya di Surau Hj Othman, Madrasah Siratol Mustaqim dan Ma'ahad Tahfiz Darul Uloom, Kemaman. Taklimat itu saya sertakan dengan tayangan 'slide' bergambar dan penggunaan "Google Map".

Disamping itu, kuliah-kuliah berjalan seperti biasa. Namun ada juga terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab pertembungan program yang lain. Saya juga berada di KL pada 3 Jan atas satu program khusus dengan teman-teman di sana.

Sekian.

Anugerah Keluarga Mithali Terengganu

19-12-2009 @ Sabtu,

Kira-kira seminggu lalu, saya menerima sms dari adik, (cikgu) Rushidah memaklumkan Ayahanda Bonda terpilih sebagai Tokoh Keluarga Mithali Terengganu bersempena Sambutan Ma'al Hijrah peringkat Negeri Terengganu 2009 yang akan diadakan pada 17 Dis. 2009.

Dan Alhamdulillah, saat itu tiba jua akhirnya malam kelmarin. Majlis berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man dan disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Tengku Sri Panglima Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Mohon maaf pada ayahanda bonda dan ahli keluarga kerana di saat akhir terpaksa membatalkan perjalanan ke sana disebabkan faktor: i) Ceramah Ma'al Hijrah di sebuah syarikat di KSB Kemaman, ii) cuaca yang tidak begitu baik dan iii) jika diteruskan perjalanan, seawalnya mungkin sampai dalam 11.30 mlm! (program sudahpunberakhir). Pagi esok pula harus berangkat ke Kuala Lumpur kerana ada program di sana.

Walau agak terkilan dengan kegagalan untuk turut serta, namun saya amat bersyukur kepada Allah di atas kurnia ini! Teringat kalam Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali rahimahullah, bahawasanya "Hakikat syukur itu ialah kamu mengetahui bahawa tiada yang memberikan ni'mat itu melainkan ALlah SWT!" dan mafhum hadith Nabi sallaLlahu 'alayhi wassalam : "Sesungguhnya tiada bersyukur kepada Allah siapa yang tiada berterima kasih kepada manusia..."

Tahniah buat ayahanda bonda! Semoga Allah mengurniakan kesihatan dan kebaikan yang berpanjangan, insya ALlah...

KERATAN AKHBAR SINAR HARIAN 19 DIS. 2009
(Sila klik gambar untuk berita berkaitan)

KERATAN AKHBAR KOSMO ONLINE 19 DIS. 2009
(Sila klik gambar untuk berita berkaitan)

Petikan BERNAMA Online 19 Dec 2009 :
"Bagaimanapun, di KUALA TERENGGANU, tiada pemenang tokoh maal hijrah kerana tiada yang betul-betul layak untuk dianugerahkan tetapi imam yang mempunyai 16 orang anak telah dipilih sebagai tokoh keluarga mithali yang diadakan di Taman Tamadun Islam di sini.

Haji Abdul Razak Jusoh, 70, Imam Masjid Kampung Bukit Kandis dekat Kuala Terengganu pernah menjadi nelayan dipilih berdasarkan kecemerlangannya mendidik anak-anak dengan 11 daripada 16 anaknya itu berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti."

Jadual Program Terkini ! Kemaskini 16 Dis. !

16-12-2009 @ Rabu,

 16/12, Rabu : Kuliah Dhuha, Wanita Felda Kerteh 1, Kemaman

 16/12, Rabu : Kuliah Zohor di Kerteh Terminal, Kerteh (Petronas)

 16/12, Rabu : Kuliah Maghrib di Surau Taman Selasih, Kerteh (Pendakian Salik)

 17/12, Khamis (5pm - 8pm): Ceramah Ma'al Hijrah di Solar Alert Sdn Bhd, KSB Kemaman

 17/12, Khamis : Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Trg. di Taman Tamadun Islam, K. Trg (dapat anugerah?..)

 18/12, Jumaat : Malam Kesenian Islam di Masjid SSAAS, Shah Alam (IPTAF jv JAIS)

Jadual Program Terkini ! update 9 Dis.

9-12-2009 @ Sabtu,

 9/12, Rabu : Kuliah Maghrib di Surau Taman Uda Perdana, Paka (kitab 'Pendakian Salik Menuju Allah')

 10/12, Khamis (9 mlm) : Halaqah 'Cinta & Syukur' Ketengah Jaya, Dungun

 11/12, Jumaat (9 pg) : Kuliah Dhuha Muslimat Kerteh 1

 11/12, Jumaat : Kuliah Maghrib Surau Kijal

 12/12, Sabtu : Kuliah Maghrib & Majlis Kesyukuran di Surau Kemasik

 13/12, Ahad : Kuliah Maghrib di Surau Kerteh 1 (kitab 'Hikam Tok Pulau Manis')

 14/12, Isnin : Kuliah Maghrib di Surau Perumahan Ketengah Jaya (kitab 'Pendakian Salik Menuju Allah')

 15/12, Selasa : Kuliah Maghrib di Masjid AMBS, Dungun

Program Motivasi SMK Bukit Mentok, Kemaman

9-12-2009 @ Rabu,

Program ini dibuat di akhir sesi persekolahan 2009, tapi sekarang baru dimasukkan dalam laman ini.

Al maklumlah… musim tengkujuh, banjir (baru berakhir gelombang ke-3), Aidil Adha dan sebagainya, itulah ‘alasannya’ kenapa web ni baru dapat dikemaskinikan selepas hampir sebulan ‘cuti’.

Ok.. program ni telah berlangsung pada 16-18 Nov. lalu, selama 3 hari. Program mula 8 am – 2 pm, melibatkan lebih 160 pelajar ting. 1,2 & 4. biasalah.. nisbah L:P -> 1:6 lebih kurang…

Terima kasih kepada pihak sekolah terutamanya Cikgu Salamiah yang memberi kepercayaan kepada pihak kami untuk bersama-sama dengan anak didik mereka. Semoga sedikit sebanyak mereka memperolehi bekalan berharga terutamanya di sepanjang cuti persekolahan ini.

Disertakan di sini beberapa foto program untuk tatapan pengunjung.


sedang mengisi borang pendaftaran dan soal selidik...


ice breaking...


hari ke-2, macam2 ada... polis, bomba dll...


nasib laaa jadi ketua kumpulan.. he he..

Ceramah Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan Guru SMK Teknik, Kemaman

7-11-2009 @ Sabtu,

Hampir 100 orang Guru termasuk Tuan Pengetua, Penolong-Penolong Kanan, Ketua-Ketua Bidang, Kaunselor, guru-guru dan kakitangan SMK Teknik, Kemaman telah menyertai kursus di atas.

Program bermula jam 9 pagi dengan ucapan pembukaan oleh Tuan Pengetua, Tuan Haji Abd Zaib bin Abd Manan. Beliau menyentuh tentang kepentingan memahami tanggungjawab warga pendidik dan mengaplikasikan segala method yang terbaik bagi keberkesanan setiap usaha yang dijalankan. Kursus yang bertajuk "Pendidikan Rabbani dari Falsafah Ibadah Haji dan Qorban" itu dibahagikan kepada 2 sesi dan berakhir jam 12.30 t/hari. Kursus ini memberi penekanan kepada aspek-aspek kehidupan, perjalanan diri manusia, kunci-kunci kekuatan dan kejayaan hidup, rahsia ibadah dalam membina ‘aura rohani’ untuk pelbagai tujuan dan sebagainya.

Majlis diakhiri dengan tayangan, zikir dan doa munajat. Terima kasih kepada pihak SMK Teknik, Kemaman khususnya Tuan Pengetua di atas kesudian menjemput dan memberi kepercayaan kepada pihak kami untuk mengisi slot kursus tersebut.

Jadual Program Terkini !

4-11-2009 @ Rabu,

 4/11, Rabu : Kuliah Maghrib di Surau Taman Selasih, Kerteh

 5/11, Khamis : Ceramah sempena Malam Mahabbah dan Zikir Munajat "Airmata Rasulullah" IPTAF Kuala Terengganu. (maklumat lanjut klik IPTAF.net)

 6/11, Jumaat (9 am) : Kuliah Dhuha Wanita, Surau Kerteh 1

 6/11, Jumaat (3 pm) : Tazkirah & Taklimat Program Ziarah ke Aceh 2010 di Surau Hj Othman, Chukai, Kemaman (Wanita Kemaman)

 6/11, Jumaat (7 pm) : Kuliah Maghrib di Surau Kg Jaya, Kemaman

 7/11, Sabtu (9pg - 12 t/hari) : Kursus PENDIDIK RABBANI untuk Guru-guru SMK Teknik, Kemaman

Kursus MRD Kemaman di Chukai, Kemaman

4-11-2009 @ Rabu,

Alhamdulillah, kursus kali ini melibatkan kira-kira 15 peserta dari pelbagai latarbelakang.

Kursus bermula 9 pagi dan berakhir jam 5 ptg, diadakan di Dewan Mahabbah, Pej IPTAF Kemaman.

Insya Allah program susulan akan diadakan selepas ini bagi menghimpunkan semua bekas peserta.

Kursus "Meneroka Potensi Diri" SMK Durian Mas, Dungun

29-10-2009 @ Khamis,

Kursus dengan tajuk "Meneroka Potensi Diri" ini adalah julung kali diadakan di peringkat sekolah dengan melibatkan kira-kira 48 pelajar tingkatan 1 & 2 SMK Durian Mas, Dungun. Ia diadakan di bilik APD bermula 9 pg hingga 5 ptg pada 27 Nov. Selasa lalu.

Ada beberapa perkara menarik program kali ini. Pertama, dengan konsep dan tajuk seperti di atas, ia kali pertama diadakan di peringkat sekolah. Sebahagian modulnya diolah daripada modul kursus “Meneroka Rahsia Diri” (MRD).

Kedua, penyertaan adalah secara sukarela, tiada paksaan oleh pihak sekolah. Namun amat mengejutkan kerana penyertaan seramai 48 orang, lebih 8 orang daripada had asal peserta. Itupun, kata Cikgu Ismeehan (Kaunselor & Guru Penyelaras program) ada beberapa pelajar yang terpaksan ditolak nama mereka kerana dah lebih had.

Ketiga, bil. pelajar lelaki lebih ramai dari perempuan. Menariknya, sebahagian mereka adalah dari kalangan pelajar yang agak ‘aktif’ sedikit, namun memberikan kerjasama baik sepanjang kursus berlangsung. Alhamdulillah kursus berlangsung dengan jayanya. Terima kasih kepada pihak sekolah khususnya Cikgu Ismeehan & Cikgu Toharah yang mengambil inisiatif menganjurkan kursus ini dan turut bersama-sama para pelajar sehingga program tamat.

Diharap para peserta memanfaatkan ilmu dan amalan yang diberikan dengan sebaik-baiknya demi arah tuju hidup dan perubahan yang lebih positif, insya Allah.

Sorotan Program-Progran Terkini

26-10-2009 @ Isnin,

JADUAL PROGRAM

 27 Okt., Selasa (9am-5pm) : Kursus "Meneroka Potensi Diri" Pelajar SMK Durian Mas, AMBS< Dungun

 27 Okt., Selasa (7 pm) : Kuliah Maghrib di Masjid Sultan Mahmud Al Muktafibillah Shah, AMBS

 27 Okt., Selasa (9 pm) : Halaqah Zikir Munajat & Tazkirah di Perumahan Kakitangan KETENGAH

 28 Okt., Rabu (9 am): Kuliah Dhuha Wanita, Masjid Felda Kerteh 1

 28 Okt., Rabu (7 pm) : Kuliah Maghrib di Surau Taman Uda Murni, Paka, Dungun

 31 Okt., Sabtu (9 am - 5 pm) : Kursus Meneroka Rahsia Diri di Chukai, Kemaman

Kem Kesejahteraan Pelajar SMK Ketengah Jaya

26-10-2009 @ Isnin,

Lagi foto program di bahagian bawah artikel ini.

Seramai 40 peserta, 20 lelaki dan 20 perempuan dari kalangan tingkatan 1,2 & 4 telah menyertai kem ini yang berlangsung pada 15-17 Oktober lalu di Dahimah’S Guest House, Rantau Abang, Dungun.

Alhamdulillah, program berlangsung dengan lancar dan pelbagai modul telah berjaya ditempuhi oleh para peserta. Selain modul-modul motivasi, penekanan kepada amalan kerohanian juga diberi tumpuan seperti solat berjemaah, zikir munajat, alunan qasidah dan selawat dan lainnya.

Selain, itu mereka juga diajarkan senaman pernafasan khazanah ulama’ yang begitu saintifik dalam memberi ketenangan jiwa, kestabilan emosi dan ketajaman minda. Biasanya amalan ini dibuat selepas subuh dan pada selepas asar di pantai berdekatan.

Majlis penutup kem telah disempurnakan oleh Puan Pengetua, Puan Hajjah Midah bt. Mamat dengan diiringi oleh Encik Mohd Razali bin Muda, PKHEM SMK Ketengah Jaya. Turut berucap ialah Penyelaras program, Puan Rosmaria bt. Abdullah, Guru Kaunseling sekolah berkenaan.

Para peserta ini, walaupun mungkin dilihat ketinggalan dalam beberapa aspek, namun berdasarkan perubahan dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang program, pihak kami amat yakin bahawa suatu saat nanti mereka akan berjaya melayari kehidupan yang lebih bermakna dan lebih terarah. Kami juga berdoa agar suatu masa nanti mereka akan dapat membuktikan potensi diri mereka yang seterusnya dapat membanggakan ibubapa, guru dan masyarakat umum amnya, insya Allah.

Terima kasih kepada pihak sekolah di atas kepercayaan yang diberikan kepada pihak kami untuk bersama mereka selama 3 hari 2 malam, terutamanya Puan Rosmaria yang begitu bersungguh-sungguh dalam memastikan kem ini dapat dijalankan dengan baik dan lancar. Juga kepada Cikgu Hisyamri, Cikgu Sarah, Cikgu Wahid dan lain-lainnya yang begitu ‘sporting’ dan sentiasa bersedia menghulurkan tangan membantu pihak kami.

Sampai jumpa lagi, insya Allah!

Program-Progran Terkini

11-10-2009 @ Ahad,

Selasa, 6/10 - Kuliah Maghrib di Masjid Sultan Mahmud al-MuktafibiLlah Shah (AMBS), Dungun.

Jumaat, 9/10 - Kuliah Maghrib di sebuah Surau Kemasik. Ini kali pertama dijemput berkuliah di sini.

PROGRAM AKAN DATANG

 11 Okt., Ahad : Kuliah Maghrib di Surau Felda Kerteh 1

 12 Okt., Isnin : Kuliah Maghrib di Surau Ketengah Jaya

 14 Okt., Rabu : Kuliah Maghrib di Surau Taman Uda Perdana, Paka

 15-17 Okt., Khamis-Sabtu : Kem Motivasi SMK Ketengah Jaya di Dahimah's Resort, Dungun

 31 Okt., Sabtu : Kursus Meneroka Rahsia Diri di Chukai, Kemaman

Kem Kesejahteraan Diri Pelajar 2009 SMK Durian Mas, Dungun (1-3 Okt. 2009)

11-10-2009 @ Ahad,

Lebih sebulan laman ini tak dikemaskini! Ramadhan... Aidil Fitri.. kelahiran anak ke-3! Juga banyak masa ditumpukan kepada agenda IPTAF termasuk perubahan konsep dan kemaskini laman IPTAF

Minggu lepas, kerana 'emergency case', saya terpaksa tarik diri disaat-saat akhir untuk kendalikan Kem Kesejahteraan Pelajar 2009 SMK Durian Mas, Bandar Al-Muktafi biLlah Shah, Dungun. Maaf kepada pihak sekolah terutama kaunselor yang bersusah payah untuk memastikan kem dapat dilaksanakan, iaitu Cikgu Ismeehan. Program diadakan pada khamis-sabtu (1-3 Okt. 2009).

Terima kasih juga kepada Ustaz Zulkifli bin Hamzah yang sudi mengganti saya pada saat tersebut. Saya difahamkan oleh Cikgu Ismeehan, program tersebut menampilkan suatu kelainan dalam pendekatan motivasi dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada para peserta. Tahniah kepada semua yang terlibat!

ustaz Zul merupakan sahabat seguru dan beliau sangat berpengalaman dalam bidang bina insan, bahkan mempunayi kepakaran dan mengendalikan kem-kem kecemerlangan akademik. Malah, beliau berjaya mencipta beberapa formula pembelajaran hebat khususnya dalam subjek Matematik dan Sains. Beliau bergerak melalui syarikatnya, Akademi Bimbingan Insan.

Program "Tazkiyatun Nafs" Muslimat Kijal, Kemaman

07-09-2009 @ Isnin,

Isnin, 17 Ramadhan / 7 Sept. 2009 - Selepas selesai program di Kerteh, bergegas pula ke Chukai, Kemaman untuk menghadiri majlis di atas. Program bermula jam 8.30 pagi, melibatkan hampir 100 muslimat sekitar kawasan Kijal, Kemaman. Ia diadakan di sebuah surau di Kg Bukit Kuang, Chukai.

Saya memohon ihsan seorang sahabat, ustaz Salim untuk memimpin solat sunat tasbih disebabkan keuzuran. Mujurlah beliau berkelapangan dan turut hadir menjadi imam sunat tasbih yang dikerjakan sebanyak 4 rakaat dengan 1 salam.

Kemudian saya memimpin pula zikir munajat dan diakhiri dengan doa munajat.

Seterusnya, saya menyampaikan tazkirah ringkas sekitar 20 minit, menyentuh perihal kepentingan program-program seperti ini sebagai suatu pendekatan tarbiyah ruhiah bagi menyucikan jiwa dan pengukuhan iman. Hal ini akan memberi kesan kepada diri seorang pendakwah dan dakwah yang dilakukannya. Selain itu, cahaya iman itu akan melahirkan jiwa kasih sayang dan ukhuwah yang tinggi sesama muslimat. Iman dan ukhuwah ini merupakan tunjang untuk mendatangkan pertolongan Allah SWT dalam dakwah dan perjuangan mengajak masyarakat kembali kepada Allah.

Qiamullail dan Kuliah Subuh di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Kerteh

07-09-2009 @ Isnin,

Isnin, 17 Ramadhan / 7 Sept. 2009 - Memenuhi jemputan untuk memimpin program qiamullail anjuran pihak JK Masjid. Alhamdulillah, sekitar jam 3.30 pagi kira-kira 100 jamaah muslimin muslimat telah pun memenuhi ruang masjid. Majlis berlangsung dengan solat tahajud, solat hajat, zikir munajat, doa munajat dan solat hajat.

Program ini diadakan bersempena dengan Sambutan Nuzul Quran pada malam 17 Ramadhan. Menurut salah seorang ahli jamaah, program berbentuk pengisian seperti ini adalah julung kali diadakan dimana kebiasaannya program qiamullail diisi dengan pelbagai solat-solat sunat termasuk sunat tasbih. Namun, kali ini penumpuan diberikan kepada alunan zikir-zikir, tazkirah rohani dan bacaan doa munajat yang amat mengesankan jiwa jamaah.

(6.20 am) - Menyampaikan kuliah Subuh di tempat yang sama. Ini kali pertama saya dijemput berkuliah di masjid ini. Para jamaah yang hadir bersolat Subuh hampir 500 orang, menunjukan ia sebuah masjid sentiasa dimakmurkan oleh para jamaah.

Bicara kuliah menyentuh perihal Ramadhan sebagai bulan kasih sayang Allah, puasa sebagai mujahadah untuk terbitkan cahaya kehambaan, Al-Quran sebagai penyuluh kebenaran hidup dan sumber akidah sahih. Di akhir kuliah turut disentuh tentang peristiwa Badar Al-Kubra yang turut berlaku pada 17 Ramadhan. Peristiwa ini memperlihatkan kekuatan iman, cinta dan pengorbanan para sahabat dalam perjuangan bersama Rasulullah SAW untuk menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Kuliah berakhir kira-kira jam 7.15 pagi.

Rangkuman Program 4 Sept. 2009

06-09-2009 @ Ahad,

KETENGAH JAYA, DUNGUN, 4 SEPT. – Kuliah Subuh Ramadhan di Surau Ketengah Jaya kepada hampir 50 orang jamaah muslimin muslimat. Sudah hampir 2 bulan tidak berpeluang datang berkuliah di sini kerana keterikatan dengan program lain.

FELDA KERTEH, DUNGUN, 4 Sept. – Buat kali pertama bersama hampir 40 wanita Felda Kerteh mengerjakan solat sunat Dhuha berjemaah. Disusuli dengan zikir munajat, tazkirah Ramadhan dan doa munajat. Majlis bermula 9 pagi dan tamat 10.30 pagi.

KUALA TERENGGANU, 4 Sept. – Turut serta dalam Majlis Munajat & Bacaan Hizib Menghindar dari Penyakit Berjangkit di Ribath Menengah Al-Hidayah, Bt. Buruk, Kuala Terengganu. Ia adalah anjuran Ikatan Pengkajian Tauhid Tasawuf (IPTAF) dan dipimpin oleh Ustaz Mustaffa Kamal Hamzah, Pengerusi IPTAF.

Majlis bermula jam 6.15 ptg dengan bacaan Yasin, bacaan Hizib, Doa Nubuwwah dan acara pengijazahan Hizib oleh Pengerusi IPTAF kepada hadirin yang berjumlah hampir 200 muslimin dan muslimat.

Saya diberi ruang untuk menyampaikan tazkirah ringkas atas kapasiti sebagai pembimbing IPTAF Kemaman, sebelum diakhiri dengan doa munajat yang disampaikan oleh Ustaz Mustaffa Kamal dan berbuka puasa.

Untuk berita lanjut dan gambar program, sila klik Laman IPTAF

Rangkuman Program - MRD dan Kuliah Ramadhan

02-09-2009 @ Rabu,

MRD DI CHUKAI, KEMAMAN telah diadakan pada 28 Ogos (Jumaat) di pejabat IPTAF Chukai. Program yang bermula jam 9 pg ini melibatkan 10 orang peserta lelaki dan perempuan dari pelbagai latarbelakang. Ia berakhir kira-kira jam 5 ptg.

Kursus ini sebenarnya telah lama tidak diadakan di sini, malah telah tertangguh beberapa kali disebabkan hal-hal yang tak dapat dielakkan. Insya Allah ianya akan lebih kerap lagi diadakan di Kemaman ini, dengan penyertaan tidak melebihi 10 orang pada setiap sesi.

Peserta yang disasarkan adalah di kalangan mereka yang mengikuti kuliah-kuliah saya di sekitar Kemaman bagi memantapkan lagi kefahaman mereka khususnya ilmu Tauhid Tasawuf, serta menerima pengamalan bersanad.

MRD DI KUALA TERENGGANU pula telah berlangsung pada keesokan harinya, iaitu pada 29 Ogos (Sabtu) bertempat di Dewan IPTAF, Ribath Menengah Al-Hidayah Bt Buruk dari jam 9 pg – 5 ptg. Alhamdulillah, pesertanya adalah seramai 8 orang (5 lelaki, 3 perempuan termasuk sepasang suami isteri).

Alhamdulillah, ia berlangsung dengan baik walaupun rupanya mengadakan kursus di bulan Ramadhan ini agak mencabar juga. Kebetulan cuacanya agak panas pada hari tersebut. Namun para peserta begitu tekun mengikuti kursus dan aktif dalam sesi soal jawab.

KULIAH SUBUH DI MASJID SULTAN MAHMUD AL-MUKTAFI BILLAH SHAH, AMBS, DUNGUN - Ini kuliah pertama saya di bulan Ramadhan selepas menolak beberapa undangan dari surau / masjid di sekitar Kemaman & Kerteh.

Oleh kerana jarak perjalanan mengambil masa sekitar 30-40 minit dari rumah saya ke masjid berkenaan, maka seawal jam 5 pagi saya bertolak ke sana dengan seorang teman, Sabki.

Ramai juga ahli kariah yang hadir pada Subuh itu. Menurut Imam Masjid, kuliah saya ini merupakan yang pertama diadakan di masjid berkenaan sejak Ramadhan bermula.

Kuliah sekitar 45 minit itu saya singgung sedikit tentang wabak H1N1 yang sedang melanda, bagaimana prinsip-prinsip tauhid dalam menanggapi hal seperti ini dan ikhtiar-ikhtiar yang diamalkan oleh para ulama silam, khususnya di kalangan ulama tasawuf.

Juga disentuh mengenai petunjuk-petunjuk keimanan yang dapat dipelajari dari peristiwa Badar al-Kubra yang berlaku di bulan Ramadhan, hikmah Ramadhan dalam konteks penyucian rohani dan penyuburan sifat-sifat kehambaan, martabat puasa dan lainnya.

Salam Ramadhan!

21-08-2009 @ Jumaat,

Cahaya Makrifat di bulan Ramadhan

21-08-2009 @ Jumaat,

Saya paparkan di sini petikan tausiyah Guru kami, Syeikh Hj Ibrahim Mohamad asy-Syathari pada 4 Nov. 2002, jam 10.15 malam, yang pernah diterbitkan dalam web www.jalanku.com.my pada tahun yang sama.

Wahai para sahabatku,

Kita telah memasuki bulan Ramadhan Al-Mubarak. Inilah bulan yang dirindui oleh ahli ibadah, dan tidaklah orang-orang yang cinta kepada Allah melainkan kasih akan bulan Ramadhan ini. Dan ahli-ahli ibadah, ahli-ahli zikrullah, mereka ini menunggu bulan Ramadhan ini dengan penuh kecintaan dan kasih sayang, dengan penuh keasyikan. Mereka menunggu bulan ini dengan penuh kerinduan, kerana inilah bulan dimana diberi keberkatan dan kenikmatan yang tidak terhingga dan inilah bulan kasih sayang Allah dilimpahkan kepada umat Muhammad SAW.

Ramadhan adalah bulan yang diberi kita kenikmatan pahala yang berlipatkali ganda, dimana (maksud) pahala bagi ahli-ahli makrifatullah ialah cahaya-cahaya makrifat begitu mudah untuk ditembusi padd bulan ini. Ia bulan yang mudah untuk dibuka hijab oleh Allah SWT.

Isikan bulan Ramadhan dengan sepenuhnya, jadikan bulan ini sebagai masa untuk beruzlah secara bersungguh-sungguh dengan mentawajjuhkan (penumpuan) kepada Allah SWT. Nabi SAW menghidupkan uzlah, khalwat sebanyak 20 hari setahun, 10 hari di bulan-bulan biasa dan 10 hari di bulan Ramadhan. Mengapa 10 hari di bulan Ramadhan? Kerana Ramadhan adalah bulan kasih sayang Allah, bulan penuh kelebihan dan keberkatan.

Jangan kita beribadah pada bulan Ramadhan sama dengan bulan-bulan yang lain. Cahayakan betul-betul hati kita dengan banyak mentawajjuhkan hati. Isikan dimalam-malam hari, selain ibadah tahajud, dengan banyakkan istighfar dan selawat kepada Nabi SAW. Istighfar sebagai pembersih hati dan selawat pula sebagai pembuka hijab hati kita. Bila kita berselawat kepada Nabi, ia membuka hijab. Jangan berselawat dalam keadaan tidak hadir perasaan cinta kepada Baginda. Selawat biar berpuluh ribu satu hari kerana ia mengandungi rahsia yang besar dalam perjalanan menuju makrifatullah. Dan tidaklah orang-orang yang menuju kepad jalan Allah ini, melainkan dengan selawatlah kebanyakan mereka sampai kepada-Nya. Nabi Musa juga mendapat keampunan Allah dan ditambah ilmu dengan banyak berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.

al faqir ilaLlah Syeikh Hj Ibrahim Mohamad asy-Syathari

Rangkuman Program Ambang Ramadhan

21-08-2009 @ Jumaat,

20 OgosMajlis Munajat Ambang Ramadhan di Madrasah Siratol Mustaqim, Bt. 4, Chukai, Kemaman.

19 Ogos (7.30 mlm) – Berkuliah di Surau Taman Selasih, Bandar Kerteh. Bicara 'Ramadhan : Adat @ Ibadah?'

19 Ogos (4-6 ptg)Ceramah Ambang Ramadhan kepada Pegawai dan Kakitangan PESAKA TRG BHD Dungun.

19 Ogos (9.30-11 pg) – Kuliah Dhuha dan Halaqah Zikir muslimat di Bandar Kerteh. Bicara 'Ramadhan : Madrasah Pendidikan Rohani'.

Kem Motivasi dan Pemantapan Solat

18-08-2009 @ Selasa,

Pada 13-15 Ogos lalu (Khamis-Sabtu), kami telah dijemput untuk mengendalikan Kem Motivasi dan Pemantapan Solat untuk pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Geting, Tumpat, Kelantan. Saya mendapat panggilan telefon dari Cikgu Noraini, warden asrama sekolah ini kira-kira sebulan lalu untuk tujuan ini.

Para pelajar terdiri dari pelajar asrama tingkatan 1-5 berjumlah 86 orang, lelaki dan perempuan. Sebenarnya inilah kali pertama pihak kami mengendalikan kem motivasi di Kelantan. Menurut cikgu Noraini, beliau mendapat tahu mengenai khidmat ITC dari laman ini dan tertarik dengan modul yang disediakan.

Pihak kami mendapat khidmat istimewa daripada Cikgu Mohd Najib Badruddin, orang lama di bidang pendidikan dan pembinaan insan. Beliau sering bersiaran di radio Kelantan, RTM dan beberapa media lain. Dan sekarang beliau dipinjamkan oleh JPNK sebagai Ketua Unit Media di Pejabat Sultan Kelantan, Kota Bharu.

Baca Lagi

Rangkuman Kuliah 16-17 Ogos

18-08-2009 @ Selasa,

16 Ogos – Berkuliah dan halaqah zikir munajat di Masjid As-Solehin, Kemaman. Ramai juga jamaah yang hadir dan turut serta dalam halaqah zikir munajat.

17 Ogos – Berkuliah di Masjid Al-Muktafibillah Shah, Durian Mas, Dungun. Sepatutnya berkuliah malam esok, tapi terpaksa diawalkan kerana bertembung dengan program lain. Ini kuliah terakhir sebelum Ramadhan menjelma.

Bicara tentang Ramadhan bulan kerohanian dan menggilap cinta pada Allah dan Rasul. Bagi ahli sufi, Ramadhan adalah bulan terbukanya hijab dan beroleh cahaya makrifat.

Pihak masjid minta saya sampaikan kuliah subuh di bulan Ramadhan nanti. Insya Allah, saya akan hadir pada masa yang ditetapkan nanti.

Kursus MRD di Masjid Negeri Shah Alam

12-08-2009 @ Khamis,

Buat pertama kalinya, kursus Meneroka Rahsia Diri diadakan di Bilik Kuliah 2 di Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, Shah Alam pada 9 Ogos, Ahad lalu. Kursus bermula kira-kira jam 9 pagi dan berakhir 5.30 petang.

Alhamdulillah, kehadiran kali ini adalah seramai 14 peserta dari pelbagai latar belakang termasuk Doktor, Pensyarah IPT dan kalangan profesional. Jangkaan dan sasaran awal hanyalah 10 peserta sahaja, namun di saat akhir ada beberapa peserta menelefon untuk menyertainya.

Kursus ‘MRD’ ini sememangnya tidaklah dikomersialkan seperti kursus-kursus yang lain. Bahkan ia pada awalnya dihadkan kepada 10 peserta sahaja bagi setiap sesi. Ada beberapa faktor yang menyebabkan kami mengambil pendirian seperti ini.

Alhamdulillah, kursus berjalan dengan baik, tempat pun selesa. Sebenarnya kursus anjuran kali ini adalah inisiatif dan kelolaan Puan Rozita dan suami beliau (en. Rosli). Merekalah yang berusaha mencari peserta, membuat hebahan dan menguruskan segala keperluan kursus. Pihak kami amat terharu dengan kesungguhan mereka berdua, lebih-lebih lagi kami difahamkan mereka juga terlibat dengan kerja-kerja amal dalam membantu golongan seperti anak yatim dan ibu tunggal.

Berkenaan dengan MRD, mereka berhasrat untuk menganjurkan lagi kursus ini di tempat yang sama memandangkan kursus ini amat bermanfaat dalam membuka minda dan jiwa kepada perubahan dan arahtuju yang diredhai Allah SWT.

Jadual Terkini Kursus MRD Kemaskini 12 Ogos!

12-08-2009 @ Khamis,

28 / 8 Jumaat 9am-5pm Chukai, Kemaman (Tempat akan dimaklumkan kemudian) 019-9241197
29 / 8 Sabtu 9am-5pm Dewan Kuliah, Ribath Al-Hidayah, Bt Buruk, K. Terengganu 019-9241197
30 / 8 Ahad 9am-5pm Johor Baharu (tempat akan dimaklumkan kemudian) 019-9241197
  • Tempat terhad untuk 15 peserta sahaja (lelaki dan perempuan).
  • Program susulan dan bimbingan berterusan bagi yang berminat.

Poster di bawah adalah contoh maklumat mengenai kursus MRD yang akan diadakan pada 9 Ogos nanti di Shah Alam.
Sila klik poster di bawah untuk imej yang lebih besar dan jelas.

Untuk maklumat lanjut, pertanyaan atau pendaftaran, sila sms @ tel 019-9241197 (Yusof) atau emel kpd irsyadtc@hotmail.com

Malam Cinta Allah dan Rasul IPTAF Kemaman

07-08-2009 @ Jumaat,

Saya diberi amanah untuk memimpin majlis ‘Malam Cinta Allah dan Rasul’ yang diadakan malam tadi (malam Jumaat) di Madrasah Al-Mustaqim, Kemaman. Ia merupakan anjuran IPTAF Kemaman dan Madrasah Al-Mustaqim buat julung-julung kalinya.

Alhamdulillah, kehadiran amat memberangsangkan dan majlis berlangsung dengan suasana kerohanian dan ukhuwah.

Untuk berita seterusnya dan melihat klip serta gambar program, sila klik di SINI

Rangkuman Kuliah 2-7 Ogos

08-08-2009 @ Sabtu,

2 Ogos – Berkuliah dan halaqah zikir munajat di Masjid As-Solehin, Kemaman

4 Ogos – Berkuliah di Masjid Al-Muktafibillah Shah, Durian Mas, Dungun. Alhamdulillah dapat hadir pada kali ini, setelah tertangguh beberapa kali. Mengajar di masjid yang besar agak mencabar, bukan sahaja kerana tempat yang luas dan jamaah duduk bertebaran, malah kalau nak dihalusi adab-adab majlis ini, banyak yang mungkin perlu diperbaiki. Namun, demi dakwah, kadang-kadang hal-hal sebegitu kena tolak ke tepi dahulu.

5 Ogos – setelah lebih 2 bulan, pagi Rabu yang lalu, saya hadir ke program Kuliah Dhuha di sebuah rumah ibu tunggal di bandar Kerteh. Lebih 20 orang wanita hadir. Majlis bermula dengan zikir munajat, yang semestinya menjadi amalan biasa sebelum memberi kuliah. Saya terangkan kepada mereka beberapa kelebihan zikir, antaranya untuk melembut dan mentawadhu’kan hati… jika hati tiada tawadhu’, datang majlis pula sekadar untuk mengisi masa lapang atau niat-niat lain, yang bukan bertujuan untuk mendapat ilmu dan membaiki diri, nescaya seorang itu berada di jurang kebinasaan. Itu disebut oleh Syeikh Abdul Qadir Jailani dalam ‘Al-Fathu Rabbani wa Faidhur Rahmani’.

Pada malamnya saya berkuliah di surau Taman Selasih, Bandar Kerteh. Bicara mengenai perjuangan Islam dalam konteks Tauhid Tasawuf.

Selepas Isya’ diadakan Halaqah Zikir dan Doa Selamat, mengambil berkat sempena malam Nisfu Sya’aban.

7 Ogos – Berkuliah di Surau Kg Jaya, Chukai Kemaman. Bicara Matan ke 4 Syarah Hikam Tok Pulau Manis. "Rehatkan dirimu dari tadbir...". Syukur para jamaah sudah boleh menerima pengajian Tauhid Tasawuf berdasarkan syarah Hikam ini.

Majlis Walimah 'Ayah Kie'

07-08-2009 @ Jumaat,

Pada Sabtu, 1 Ogos yang lalu saya bersama keluarga hadir ke majlis Walimah sdra Marzuki Mohamad, salah seorang yang berkhidmat sepenuh masa dengan Guru saya di Ribath Pulau Manis, Kuala Terengganu. Malahan kedua-dua anak saya, Aqel dan Aiman turut belajar di Ribath tersebut, dan beliaulah (anak-anak Ribath memanggilnya dengan panggilan ‘Ayah Kie’) antara orang yang turut memberi khidmat bagi memastikan keselesaan dan menyiapkan kemudahan di Ribath.

Seperkara yang menarik lagi tentang ‘Ayah Kie’ ialah, pada setiap jam 3 pagi, beliau akan melaungkan azan di surau Ribath. Itu sudah menjadi rutin bagi beliau sejak awal tahun lagi.

Sekarang beliau telah bergelar seorang suami, namun tanggungjawab dan khidmat beliau di Ribath berjalan seperti biasa. Saya dan teman-teman selalu bergurau dan menyatakan, ‘beliau ini mungkin tidak terkenal di bumi, tapi terkenal di langit’, kerana sifat tawadhu’, keikhlasan dan ketenangan yang terpancar pada wajah beliau.

Boleh lihat klip video dan gambar-gambar suasana majlis tersebut di SINI

Tamrin Rohani Wanita Ketengah Jaya

07-08-2009 @ Jumaat,

Buat kesekian kalinya, Tamrin Rohani Muslimat Ketengah Jaya telah berlangsung pada 30-31 Julai (Khamis-Jumaat) di rumah saya di Paka, Dungun. Melibatkan 15 muslimat dari Ketengah Jaya, Kerteh.

Program ini merupakan program pemantapan ilmu dan rohani di kalangan sebahagian mereka yang mengikuti kelas pengajian bimbingan saya dan juga telah menerima amalan zikir bersanad. Yang menariknya, majoriti yang hadir kali ini merupakan tenaga penggerak program-program keagamaan di tempat mereka. Justeru amatlah tepat, orang-orang seperti mereka ini wajar ditingkatkan ilmunya dan dari sudut pengamalan rohaninya agar mereka dapat istiqamah, mempunyai kesabaran dan kebijaksanaan dalam menyusun program-program dakwah untuk masyarakat setempat.

Wallahu ‘alam.

MALAM KESENIAN ISLAM 2009 IPTAF

03-08-2009 @ Isnin,

Alhamdulillah, Malam Kesenian Islam 2009 anjuran Ikatan Pengkajian Tauhid Tasawuf (IPTAF) telah berlangsung dengan jayanya pada 27 Julai baru-baru ini.

Untuk gambar dan berita seterusnya, sila klik gambar di bawah

Rangkuman Kuliah

25-07-2009 @ Sabtu,

22 Jul, 9am - Kuliah Dhuha untuk kaum ibu di Masjid Kerteh 1. Mula dengan zikir munajat... bersungguh dan asyik benar mereka mengalunkan zikir-zikir tersebut.
Mereka semua adalah isteri-isteri para peneroka felda. Pada setiap minggu mereka mengikuti kuliah aqidah oleh MakWan (ustazah), kadang2 kehadiran mencecah lebih 50 orang. Saya hanya mampu datang sebulan sekali untuk pimpin zikir dan tausiyah tauhid tasawuf. Mereka juga telah menerima amalan asas seperti istighfar dan beberapa lagi amalan bersanad.

22 Jul, 8pm - Kuliah Maghrib di Surau Taman Selasih buat kali ke-2. Selepas isyak ada sebahagian jamaah minta penjelasan lanjut mengenai isi kuliah, berkaitan dengan permulaan salik untuk menuju kepada Allah.

23 Jul, 9pm - Majlis Zikir Tawajuh di Surau Hj Othman, Chukai, Kemaman. Majlis ini adalah program mingguan, kadang-kadang buat di Kemaman, Paka @ Dungun bergabung dengan ustaz Sabri.
Tawajuh ertinya penumpunan, yakni majlis untuk melatih untuk menumpukan fikiran dan hati untuk mengingati Allah SWT, disamping muhasabah, muzakarah dan eratkan silaturrahim sesama ikhwan.

24 Jul, 9am - Kuliah Dhuha untuk muslimat di Surau Blok 9, Kerteh 1. Huraian mengenai Isra' dan Mi'raj dari sudut pandang Tauhid Tasawuf dan kaitan dengan kaum muslimat. Diajarkan alunan zikir munajat yang baru.

24 Jul, 9pm - Majlis Tawajuh di rumah Hj Asri, Ketengah Jaya. Insya Allah akan diadakan sekurang-kurangnya 2x sebulan di sini, tanpa perlu lagi mereka naik bertawajuh di Kemaman.

Ceramah Isra' dan Mi'raj di Kemaman & Paka

20-07-2009 @ Khamis,

Baru pulang dari surau Taman Uda Murni di Paka selepas menyampaikan ceramah berkaitan Isra' Mi'raj. Ini kali pertama dijemput dan insya Allah akan berkuliah di surau ini 2x sebulan.

Jamaah memenuhi surau. Saya difahamkan, kehadiran pada malam ini diluar jangkaan, malah dari pelbagai latarbelakang, tak kira 'warna'. Turut serta, kebetulan ada jamaah tabligh yang beriktikaf di surau tersebut selama 3 hari.

Yaa.. musim Isra' Mi'raj, maka bicaranya juga merujuk kepada peristiwa tersebut. Memang pengajarannya berpanjangan sampai hari Kiamat.

Seandainya ia diulas oleh ahli fiqh, maka akan dihurai dari sudut fiqh. Jika ahli tafsir, dihurai peristiwa itu dari kacamata ilmu tafsir. Begitu juga ahli sirah, ahli tauhid, ahli haraki dan sebagainya. Semuanya benar belaka, malah apa yang tersurat dan tersirat dari peristiwa besar ini tak akan habis dihuraikan.

Bagaimanapun, bagi ahli sufi, peristiwa ini adalah petunjuk Nabi صلى الله عليه وسلم bagaimana untuk taraqi rohani (pendakian rohani) untuk menuju Allah. Nabi صلى الله عليه وسلم dibelah dada, disucikan qalbi dan dimasukkan nur al-hikmah, adanya Jibril a.s, Buraq, sampai langit ke-6 Jibril tersekat di situ... sehingga Nabi صلى الله عليه وسلم berhadap dengan Allah dalam penuh sifat kehambaan. Sesungguhnya pada setiap inci peristiwa ini, ada petunjuk yang hanya akan dapat difahami hakikatnya oleh orang-orang bersinar terang cahaya makrifatnya. Wallahu'alam.

Semalam, Ahad 19 Julai, seperti biasa menyampaikan kuliah di Masjid As-Solehin, Kemaman. Kebetulan malam 27 Rejab, maka saya bawa tajuk 'Isra' dan Mi'raj - Pedoman KeTauhidan dan Pendakian Salik menuju Allah'. Mungkin, jika dihuraikan satu persatu apa yang dilihat Nabi صلى الله عليه وسلم, maka masa tidak cukup. Jadi hanya difokuskan kepada suasana semasa dan penekanan kepada hal pemantapan tauhid dan kepentingan amalan untuk mi'raj ke hadrat Allah SWT.

selepas Isya' sebahagian jamaah menyertai Halaqah Zikir Munajat dan bacaan qasidah selawat beramai-ramai.

Ceramah Motivasi SK Jawi-Jawi, Kota Belud, Sabah

16-07-2009 @ Khamis,

Alhamdulillah, atas nama Ikatan Pengkajian Tauhid Tasawuf (IPTAF) saya dijemput untuk menyampaikan ceramah motivasi kepada para murid, ibu bapa dan guru Sek. Keb. Jawi-Jawi, Kota Belud, Sabah. Ia diadakan pada Selasa, 14 Julai yang lalu. Ia adalah iniatif yang digerakkan oleh Cikgu Mohd Fareq, salah seorang guru yang berkhidmat di sekolah tersebut. Beliau berasal dari Kemaman, Terengganu dan hampir 2 tahun telah berkhidmat di sana.

Ceramah di atas tajuk “Pendidikan Anak-Anak yang cemerlang dunia akhirat” itu bermula selepas solat Maghrib di Masjid Kg Jawi-Jawi, yang terletak berhampiran dengan sekolah. Walaupun diwar-warkan pada saat akhir, namun kehadiran ibu bapa, anak-anak dan guru amatlah menggalakkan, malah memberi kerjasama yang baik ketika ceramah berlangsung.

Saya cuba bicarakan tajuk ini dari sudut keibubapaan, guru dan anak-anak. Dalam apa jua perkara, pendidikan yang berteraskan tauhid perlulah dititik-beratkan. Disamping mengejar kejayaan dalam bidang akademik dan duniawi, namun kita perlu mengetahui keutamaan dan prinsip-prinsip kejayaan hidup hakiki. Jika tersalah arah dan matlamat, maka kesannya bukan sahaja di akhirat nanti, malah di dunia ini sudah dapat disaksikan kesan-kesan buruknya.

Ceramah yang memakan masa hampir 1 jam itu diakhiri dengan zikir dan doa munajat yang diaminkan oleh anak-anak, ibu bapa dan guru-guru. Kemudian selesai solat Isyak, menikmati jamuan pelbagai makanan yang dibawa oleh mereka yang hadir.

Keesokannya saya dibawa melawat sekolah berkenaan dan beramah mesta dengan Guru Besarnya, Tuan Hj Mazni b Hj Mohd Said. Diakhir pertemuan beliau menghadiahkan sebuah buku bertajuk 'Jejak-Jeka Pendidik IV', sebuah buku yang khusus memperihalkan tokoh-tokoh pendidik Sabah, sejarah, sumbangan dan perjuangan mereka dalam dunia pendidikan.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Hj Mazni, Cikgu Mohd Fareq dan semua pihak yang telah menjemput saya untuk hadir ke program di atas. Insya Allah, akan dirangka perancangan dan ditetapkan tarikh untuk mengadakan kursus kepada Guru dan motivasi kepada murid-murid pada masa akan datang.

Semoga kita akan bertemu lagi, insya Allah.

Kursus Meneroka Rahsia Diri Shah Alam 12 Julai

16-07-2009 @ Khamis,

Penyertaan kali ini adalah teramai dalam sejarah MRD kerana melibatkan 30 orang peserta, tidak termasuk beberapa orang bekas peserta yang turut hadir.

Diadakan di D’Akmal Homestay, sek. 27, Shah Alam, Selangor bermula 9 pg – 6 ptg.

Seperti biasa, ianya diisi dengan pembentangan, paparan lcd, latihan praktikal dan diakhiri dengan zikir dan doa munajat.

Motivasi Murid Sek Ren Chukai Kemaman

16-07-2009 @ Khamis,

Telah diadakan pada 8 Julai 2009 (Rabu) bermula jam 8.30 – 11 pg di Dewan Terbuka SK Chukai. Ia melibatkan lebih 100 murid darjah 4 sekolah berkenaan.

Insya Allah program seperti ini akan diadakan lagi untuk peringkat darjah 5 dan 6 pada tarikh yang akan ditentukan kemudian oleh pihak sekolah.

Rangkuman Program 24 Jun - 10 Julai

16-07-2009 @ Khamis,

24 Jun – Kuliah Dhuha di Masjid Kerteh 1 kepada lebih 50 wanita. Program bermula 9 pg – 11 pg.

26 Jun – Kuliah Dhuha dan Bacaan Manaqib Syeikh Abd Qadir Jailani untuk kalangan wanita Felda di Surau Kerteh, Ketengah Jaya. 9pg-11pg.

27 Jun– Program ‘Sehari bersama Ulama dan Maulidur Rasul SAW’. Sila rujuk di sini

28 Jun - Kuliah Maghrib dan Halaqah Zikir di Masjid As-Solehin, Kemaman. Juga alunan qasidah dan selawat sebelum majlis berakhir yang dipimpin oleh ustaz Khairul.

3 Julai - Kursus “Pendidik Rabbani Menjana Mujahid Agama”
Berlangsung dgn jayanya, disertai hampir 30 orang para pendidik tadika Islam sekitar kemaman. Program bermula 8.30 pg dan berakhir 6 ptg, diadakan di Mak Chili, Kemaman. Kursus diisi dengan pembentangan, permainan bermesej, muzakarah, bengkel dan diakhir dengan zikir dan doa munajat.

Makluman balas positif. Insya Allah akan dikembangkan kepada warga pendidik yang lain. Program susulan akan diadakan pada 17 julai nanti.

3 Julai – Kuliah Maghrib di Surau Kg Jaya, Kemaman. Selepas Isya diadakan Tahlil Arwah di rumah salah seorang AJK surau.

5 Julai - Kuliah Maghrib di Surau Taman Selasih, Kerteh. Ini adalah kali pertama berkuliah di sini dan insya Allah akan memenuhi jemputan dua minggu sekali.

7 Julai – Kuliah Maghrib di Masjid AMBS, Dungun. Selepas Isya diadakan halaqah zikir dan bacaan Manaqib di rumah Hj Nawi Ketengah.

10 Julai – Kuliah Dhuha dan Bacaan Manaqib Syeikh Abd Qadir Jailani untuk kalangan wanita Felda di Surau Kerteh, Ketengah Jaya. 9pg-11pg.

10 Julai – Kuliah Maghrib dan Tahlil di Surau Kerteh, Ketengah Jaya.

Rombongan ke Jakarta, Indonesia...

25-06-2009 @ Khamis,

Alhamdulillah, rombongan seramai 9 orang yang dipimpin oleh Tokku selamat tiba di Jakarta kira-kira jam 9.45 mlm (waktu Jakarta) dengan pesawat AirAsia.

Kami berada di sana dari 18-21 Jun, dalam rangka bermesyuarat dengan pimpinan pusat Pengkajian Tauhid Tasawuf Indonesia iaitu Abuya Syeikh Hj Amran Waly, yang datang dari Aceh Selatan.

Turut serta ialah wakil-wakil beliau dari seluruh Indonesia. Mesyuarat bertujuan menyusun satu program Ijtimak Pengkajian Tauhid Tasawuf Nusantara yang akan diadakan pada 8 Mac 2010 di Banda Aceh.

Insya Allah catatan perjalanan akan dimuatkan dalam laman IPTAF hasil catatan ustaz Azman (Iptaf Shah Alam).

Rangkuman Kuliah 25 Jun 2009

25-06-2009 @ Khamis,

7 Jun - Kuliah di Masjid As-Solehin. Bicara tentang perihal amal yang datangkan waridat.

8 Jun - Kuliah di Surau Ketengah Jaya.

9 Jun - Kuliah di Masjid AMBS.

10 Jun - Kuliah di surau Taman Kalongan.

12 Jun - Khutbah Jumaat di Kemaman.. kali pertama dalam hidupku! guna teks mursyidku, Tokku Ibrahim.

15 Jun - Kuliah di surau Felda Kerteh 1.

Ceramah Motivasi Hari Keluarga PESAKA

12-06-2009 @ Jumaat,

6 Jun – Ceramah Motivasi sempena Hari Keluarga PESAKA TERENGGANU BHD, melibatkan hampir 500 kakitangan dan ahli keluarga masing-masing. Diadakan di BALORA, Bandar Al Muktafi biLlah Shah, Dungun.

Saya difahamkan slot motivasi ini julung kali diadakan agar Hari Keluarga yang diadakan ini mendapat nilai tambah yang dapat membantu mempertingkatkan lagi motivasi di kalangan pegawai dan kakitangannya.

Slot motivasi bermula 10 am – 12.30 t/hari sebaik majlis perasmian berakhir. Pada sebelah petang diadakan pelbagai acara, sukaneka, pertandingan memancing, tarik tali dan sebagainya.

Terima kasih khususnya buat Tuan Hj Abd Aziz bin Awang Tera (Pengurus Besar) dan Hj Mazlan bin Long di atas kesudian menjemput pihak kami untuk turut sama menjayakan majlis tersebut.


pegawai dan kakitangan PESAKA sedang tekun mendengar ceramah yang disampaikan.
Tn Hj Abd Aziz sedang merasmikan program (gambar kecil)


sebahagian kakitangan syarikat

Kem Jati Diri Remaja Cuti Sekolah

12-06-2009 @ Jumaat,

3-5 Jun 2009
Awang Beach Resort, Rantau Abang, Dungun.

Alhamdulillah, target untuk dapatkan 30 peserta mencapai sasaran apabila 31 hadir mendaftarkan diri pada jam 3 ptg Rabu, 3 Jun. Agak lama juga tidak mengendalikan kem anjuran ITC sendiri… biasanya hanya memenuhi undangan pihak sekolah dsb.

Sebahagian besar peserta datangnya dari Ketengah Jaya dan Durian Mas, namun ada juga dari Kemaman dan K. Terengganu. Peserta lelaki seramai 14 orang dan perempuan 27 orang, berusia antara 12-18 tahun.

Di bawah adalah sebahagian aktiviti yang dijalankan.


sebahagian ibu bapa mendaftarkan anak mereka


aktiviti riadah dan latihan senaman pernafasan khazanah ulama


ada krisis berlaku... ketua sedang cari jalan selesaikan..


mengharungi air dalam aktiviti jungle trekking


sampai ke puncak bukit penyu


Slot akhir bersama ibu bapa

Rangkuman Program 2 - 10 Jun

12-06-2009 @ Jumaat,

2 Jun – Kuliah di Masjid Pasir Minal. Kelewatan, kerana pada sangkaan awal hanya bermesyuarat (program Sehari Bersama Ulama dan Maulidur Rasul) sahaja selepas Isya’ tanpa perlu beri kuliah Maghrib. Rupanya dah dihebahkan kepada jamaah, jadi ia harus diteruskan... terpaksa tekan minyak kereta…

5 Jun – Berkuliah maghrib di surau Kg Jaya Kemaman. Bicara tentang iman dan ukhuwah, Mekah dan Madinah… dua gabungan unsur yang menggamit pertolongan Allah dalam perjuangan.

7 Jun – Kuliah Maghrib di Masjid As Solehin Kemaman, bicara daripada kalam Hikam Syeikh Ibnu ‘AthaiLlah… ‘Bagaimana akan dapat terang hati seseorang yang gambar dunia ini terlukis pada cermin hatinya. Atau bagaimana pergi menuju kepada Allah, padahal ia masih terikat (terbelenggu) oleh syahwat hawa nafsunya. Atau bagaimana akan dapat masuk ke hadrat Allah, padahal ia belum bersih (suci) dari kelalaiannya seumpama orang yang sedang dalam janabah. Atau bagaimana mengharap akan mengerti rahsia yang halus-halus, padahal ia belum taubat dari kesalahan-kesalahannya.”

Maksud menghadapkan diri kepada Allah secara zahir itu, ialah dengan mengerjakan berbagai-bagai ketaatan dan ibadah serta khidmat kepada-Nya, manakala menghadap diri secara batin, iaitu mengerjakan setiap urusan kehidupannya dengan penuh keimanan, keikhlasan, tawadhu’, tawakal dan lain-lain sifat kehambaan. (Petikan dari kitab Al-Jawahir AS-Sufiyah, Syaikh Husin Nasir al-Banjari)

Selepas Isya, buat pertama kali diadakan halaqah zikir dengan disertai lebih 100 orang. Turut serta ialah ahli jamaah surau/masjid yang mengikuti pengajian yang saya sampaikan. Diakhiri dengan doa munajat dan selawat.

9 Jun – Kuliah Maghrib di Masjid Sultan Mahmud, AMBS. Bicara tentang sifat-sifat hamba Allah. Sesungguhnya sifat seorang hamba itu, ia sentiasa menghadapkan dirinya kepada Allah Ta’ala zahir dan batin, pada setiap nafasnya, pada setiap detik dalam kehidupannya.

10 Jun – Kuliah Maghrib di Surau Taman Kalongan, Kijal. Selepas Isya seperti biasa diadakan halaqah zikir.. dan buat pertama kali diajarkan beberapa qasidah dan selawat bersanad.

Bicara hatiku...

28-05-2009 @ Khamis,

Aku mengajar bukan kerana diriku bagus…
tapi untuk menebus dosa-dosaku yang terlalu banyak…
yang tiada dapat ku ungkapkan dengan kata-kata…

Moga-moga dengan sedikit ilmu yang kusampaikan
dengan sedikit kepenatan dan keletihan
dengan sedikit ujian yang kuhadapi
kerana sebab itu, Allah ampunkan dosaku yang lepas-lepas dan akan datang

Aku mengajar bukan kerana diriku bagus…
aku mengajar, agar orang lain tiada mengulangi kebodohan dan kejahatan diriku
yang lalai, penuh dengan maksiat dan munafik
supaya mereka tiada mengulangi kesilapanku yang lalu…

Aku mengajar bukan kerana diriku bagus…
Siapalah aku… yang hina dan diselaputi lumpur-lumpur hitam
setiap saat tenggelam dalam pelukan nafsu

Tetapi…

Demi mencari setitis cinta Allah
Demi meneguk setitis cinta Rasulullah
Demi menadah sedikit limpahan cinta Guruku
Dan menebus dosa-dosaku, salah adabku, sikap biadapku, kebodohanku…

Sungguh derita perasaanku
Bila mengenang diri silam
Bodoh
Jahil
Sombong
Nafsu ammarah

Tanpa cinta dan kasih sayang Guruku
Nescaya terus tenggelamlah aku dalam sifat haiwani dan syaitani
Tiada mengenal hakikat diri
Faqir
Hina
Durjana!

:. AbuAqel

Rangkuman Program 25 - 27 Mei

28-05-2009 @ Khamis,

27 Mei - Berkuliah Maghrib di Surau Taman Kalongan dan halaqah zikir. Dimohon seminggu sekali tapi tiada upaya diri.

27 Mei – Kali pertama dijemput menyampaikan Kuliah Dhuha kepada hampir 50 wanita di Masjid Felda Kerteh 1.

Di kebanyakan tempat memang kaum wanita lebih cenderung dengan majlis-majlis pengajian agama. Kata Guru saya di Pulau Manis, ujian wanita lebih banyak kepada ujian perasaan… ujian suami, anak-anak, rumahtangga… kekuatan dalam menghadapi ujian itu bukan dengan banyaknya ilmu, tapi ialah rasa kehambaan yang terpancar dari jiwa yang jernih tauhidnya. Rasa kehambaan itu tidak boleh terbit sekadar dengan banyaknya ilmu, tetapi ia adalah natijah dari amal ibadah dan mujahadah yang dilakukan.

Alhamdulillah, Allah mengurniakan kebaikan dalam majlis ini. Saya dijemput hadir pada setiap minggu, namun saya hanya mampu berikan komitmen sekali sebulan sahaja. Itupun dengan perasaan berat hati kerana hambatan perasaan yang merasa tidak layak dan tidak beramal dengan apa yang diperkatakan… moga-moga Allah mengampuni saya.

25 Mei – Kuliah dan zikir di surau Ketengah Jaya. Bicara tentang ‘Iman Muraqabah dan Musyahadah’. Saya nukilkan di sini sebahagian petikan yang diambil daripada kitab “Al-Jawahir Al-Sufiyyah” karya al faqir biLlah al-marhum Tuan Guru Haji Husin Nasir al-Banjari (Tuan Husin Kedah) mengenai hal ini.

“Seseorang itu tidak dapat memahami perkara yang payah seperti Musyahadah dan Muraqabah kepada Allah Ta’ala itu atau seperti tuntutan mengenal Allah Ta’ala itu dengan pengenalan yang sempurna atau tuntutan berkekalan khidmat dan ibadah kepada Allah Ta’ala melainkan dengan lima perkara :

1. Meninggalkan keinginan dan kasih kepada dunia, ertinya tidak kasih kepada tiap-tiap sesuatu yang lain daripada Allah Ta’ala.

2. Meninggalkan daripada perkara-perkara yang disukai oleh hawa nafsu, iaitu tiap-tiap sesuatu yang lain daripada Allah Ta’ala.

3. Seseorang itu hendaklah berkekalan dengan zikrullah, ertinya sentiasa ingat kepada Allah Ta’ala dengan hatinya dan sentiasa disebut dengan lidahnya

4. Seseorang itu hendaklah bersegera bertaubat pada tiap-tiap kali ia melakukan dosa

5. Meninggalkan tindakan angan-angan, sekalipun bagi pekerjaan atau urusan yang berkaitan dengan akhirat.

Selepas Isya seperti biasa diadakan Halaqah Zikir.

Ceramah “Peranan Guru…” SMK Bukit Mentok, Kemaman

27-05-2009 @ Rabu,

Terima kasih khususnya kepada Cikgu Muin di atas usaha beliau menjemput saya untuk mengisi slot “Latihan dalam Perkhidmatan” yang melibatkan kira-kira 70 orang SMK Bukit Mentok Kemaman. Ia diadakan pada Jumaat, 21 Mei di Mercu Beach Resort, Kuantan.

Tajuk yang diberikan ialah “Peranan Guru ke Arah Kemantapan Akhlak dan Akademik Pelajar.” Masa diberikan ialah 8.30 malam – 10.00 malam, tapi terlajak hingga jam 11 malam. Maaf cikgu!

Saya cuba huraikan tajuk ini dari kacamata ilmu Tauhid Tasawuf. Dan saya fokuskan kepada konsep kualiti dalaman para pendidik sebagai faktor utama kejayaan dalam membina sahsiah pelajar. Soal akademik sengaja saya ketepikan kerana ia sudah terlalu banyak dibincangkan.

Disamping itu, saya kaitkan konsep ‘air penerang hati’ yang biasanya akan banyak permintaannya di kalangan ibu bapa atau guru apabila hampir dengan exam. Mudah saya, bila hati terang maka otak akan terang juga. Dan perlu difahami juga, ‘cerdik belajar’ dan ‘cerdik hidup’ ia adalah 2 perkara yang berbeza.

Maka guru, bila mereka sendiri teraba-raba dalam memahami prinsip-prinsip akidah dan kunci-kunci kepada perubahan diri seseorang, maka bagaimana ia boleh memimpin anak atau pelajarnya ke arah pegangan hidup yang sebenar? Ikhlas, sabar, tawakal, tenang, doa… itu adalah antara hal-hal yang akan menyumbang dan memberi kesan kepada kejayaan dalam pendidikan. Kata Ulama’, ‘bila kamu ikhlas, maka tiada apa yang dapat menggoncangkan kamu… dan ikhlas itu adalah suatu getaran tenaga rohani yang kuat yang berupaya menembusi hati orang lain dan mencahayakan hatinya dengan nilai-nilai kebaikan.” Wallahu ‘alam. Lebih kurang kerangka ceramah saya ialah :

  • Cabaran Dunia Pendidikan Masakini
  • Prinsip-Prinsip Kejayaan
  • Iman Sumber Kekuatan untuk Perubahan
  • Peranan / Kualiti Diri Pendidik
Program diakhiri dengan tayangan klip video, zikir dan doa munajat. “SELAMAT HARI GURU!”

(p/s : Maaf bukan nak mengajar, cuma kongsi-kongsi ilmu dan pengalaman diri yang cetek.)

Rangkuman Program 17 & 20 Mei

27-05-2009 @ Rabu,

17 Mei – Berkuliah di Masjid as-Solehin. Berkejar-kejar sedikit perjalanan. Dari Kuala Terengganu ambil masa dalam 150 minit untuk sampai di Kemaman. Sampai ketika para jamaah sudah berada pada rakaat terakhir. Agak kepenatan tapi kadang-kadang diberi Allah kemanisan dalam hati.

* Ada beberapa program lain yang terpaksa ditangguhkan kerana hal-hal yang tak dapat dielakkan.

20 Mei – Kuliah Dhuha Wanita Kerteh. Kehadiran lebih 30 orang, tak sangka ramai juga. Mula 9.30 pg – 11.30 pg, tak sedar masa berjalan… mungkin kerana banyak soal jawab.

Segala masalah hidup sebenarnya adalah ujian dari Allah. Ujian itu, tempatnya di hati. Hati yang bersinar dengan cahaya iman dan makrifat, akan jadikan diri seseorang itu tenang dengan hidup, sentiasa melihat “Allah” dalam setiap gerak diam dan peristiwa yang berlaku di alam ini.

Iman itu bertempat di hati. Iman ilmu semata-mata tidak menjamin seorang itu untuk menjadi hamba Allah dan duduk di atas sifat kehambaan. Ilmu sebagai panduan, ia harus diresapkan ke dalam hati dalam bentuk nur qalbi. Prosesnya bagaimana? Ibadah dan mujahadah serta sebaiknya dengan bimbingan Guru yang mempunyai rantaian sanad ilmu dan amalan yang sampai kepada Rasulullah SAW.

20 Mei – Berkuliah Maghrib di Pasir Minal. Bicara tentang kepentingan dakwah dan perjuangan yang diwariskan oleh Rasulullah SAW.

Selepas isya’, bermesyuarat antara pihak masjid dan IPTAF (Ikatan Pengkajian Tauhid Tasawuf) untuk mengadakan sambutan Maulidur Rasul SAW pada 27 Jun 2009, bermula pagi-malam. Anjuran bersama. Tema program, “Mencintai Rasulullah SAW Menjana Kekuatan Ummah”.

Majlis Jamuan sempena Pembukaan Ribath Pulau Manis

20-05-2009 @ Rabu,

Rasa terkilan juga kerana agak kelewatan sampai di Pulau Manis, sedang sahabat-sahabat lain lebih awal menginfaq tenaga dan khidmat untuk menjayakan majlis tersebut.

Majlis yang julung kali diadakan ini dilangsungkan pada Sabtu, 16 Mei, dengan jemputan kepada para ibu bapa pelajar Ribath, penduduk kampung sekitar dan pondok-pondok berhampiran. Majlis seumpama orang baru ‘naik rumah’, sebagai tanda syukur dan menyuburkan silaturrahim.

Untuk berita dan gambar, sila ke laman IPTAF, klik di sini @ klik pada gambar di bawah.

Rangkuman Program 13 & 15 Mei

12-05-2009 @ Selasa,

13 Mei – Berkuliah Magrib di surau Taman Kalongan Kijal. Seperti biasa, lepas Isya’ diadakan halaqah zikir. Tujuan zikir bukan sekadar nak bersihkan hati dan sucikan tauhid, tapi tenaga iman itu nak digunakan dalam kehidupan dan perjuangan memartabatkan Islam ke mercunya!

15 Mei – Kuliah Dhuha Wanita Felda Kerteh 1. seperti biasa dimulakan dengan bacaan Zikir Manaqib Syeikh Abd Qadir al-Jailani… tazkirah diselang-selikan dengan zikir-zikir munajat, tanpa sedar mengundang sebak dan mencetus keinsafan. Deraian air mata mengiringi doa munajat yang dibacakan. Hati terus hiba bilamana bersalam-salaman dan berpelukan sesama teman sambil mengalunkan selawat.

Rangkuman Program 10-12 Mei

12-05-2009 @ Selasa,

10 Mei – Berkuliah Maghrib di Surau Felda Kerteh, bicara tentang matlamat ibadah dan ‘Hakikat Kehambaan’. Sesungguhnya amanah dakwah dan perjuangan membangunkan agama menjadi kewajipan dalam membuktikan kehambaan ruh dan menunaikan janji dengan Allah.

11 Mei – Berkuliah Maghrib di Masjid Sultan Mahmud, AMBS, Dungun. Bicara tentang perintah ibadah, perjanjian di alam Arwah, hikmah perintah solat fardhu dll. Juga disentuh tentang kepentingan amalan bersilsilah untuk memproses rohani dalam mendaki gunung makrifat dan mardhatiLlah.

Jam 10.00 mlm – Halaqah zikir dan kuliah kitab di rumah Hj Asri di Ketengah Jaya. Program julung kali diadakan. Kehadiran sekitar 20 orang, mereka di kalangan jemaah yang mengikuti kuliah saya di surau-surau berdekatan dan mahu menerima amalan secara bersanad. Insya Allah akan diadakan sekurang-kurangnya sebulan sekali.

12 Mei – Memenuhi jemputan seorang teman untuk mengadakan kursus ringkas kepada beliau, ibu bapa dan ahli keluarga beliau (yang datang dari Johor) yang akan berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan Umrah. Sekadar mampu, saya huraikan perjalanan itu dalam konteks perjalanan seorang hamba menuju Allah. Juga dipetik bicara hakikat antara Syeikh Asy-Syibli dengan murid beliau dalam hal ibadah haji/umrah.

Dihuraikan juga hikmah atau hal-hal yang dikehendaki dalam setiap perlakuan haji/umrah dari sudut ilmu Tauhid Tasawuf, keutamaan amal di sanan dan lain-lainnya.

Namun, atas apa hikmahnya Allah jua yang Maha Mengetahui… 5 minit sebelum memulakan program, teman saya itu menerima panggilan dari pihak terbabit, bahawa tarikh berangkat mereka yang sepatutnya pada Khamis ini 14 Mei, telah ditunda ke bulan Jun berikutan masalah mendapatkan visa.

Semoga Allah berikan kesabaran dan ketenangan kepada mereka sekeluarga menghadapi sedikit ujian ini…

Manusia rosak bila ikut akal dan nafsu

8-05-2009 @ Jumaat,

Kuliah di surau Kg Jaya Kemaman malam ini saya mukaddimahkan dengan ayat 31 surah Ali-‘Imran serta beberapa hadith Nabi SAW. Antara maksud hadith :
“Cinta dunia itu adalah ibu segala penyakit.”

Punca manusia rosak dan mengabaikan syariat Allah, hidup mementingkan nafsu, mengikut fahaman dan budaya hidup Barat dan sebagainya adalah disebabkan tiadanya “ALLAH” dan “RASUL” dalam hati mereka. Sebaliknya, hati mereka dipenuhi dengan segala kecintaan yang lain dari keduanya. Maka cinta yang batil itu menerbitkan kederhakaan, kemungkaran dan kerosakan sama ada secara nyata (zahir) atau tersembunyi (batin).

Jika tiada cahaya iman yang haq di dalam hati, nescaya seorang itu akan hidup dikuasai nafsu dan ‘ananiah’ yakni keakuan diri. Sifat ini akan menyebabkan seorang itu terus buta dengan Allah, buta dengan kebenaran, buta dengan matlamat hidup dan sebagainya.

Hatta, seorang daie dan mujahid agama, jika ia tidak benar-benar menilik dan memelihara perjalanan rohaninya, nescaya ia juga terdedah kepada tipudaya nafsu di sebalik segala amal kebaikan yang dilakukannya.

Ada beberapa lagi isi yang saya rujuk daripada kitab ‘Sirrul Asrar’ karya Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani (rahimahuLlahi Ta’ala) mengenai perjalanan diri manusia. Serta beberapa isu yang disalahfahami oleh sesetengah pihak berkaitan dengan Ilmu Tasawuf dan kaedah pengamalan yang terkandung di dalamnya.

Alhamdulillah, respons jamaah amat baik terhadap pendedahan Ilmu Tauhid Tasawuf ini yang saya kaitkan dengan perjuangan membangunkan agama. Malah ada seorang jamaah yang mencadangkan agar saya mensyarahkan kitab Hikam untuk sesi kuliah akan datang….

Tengok ‘warid’… he.. he…

Kuliah sulung di Masjid Pasir Minal Kemaman

8-05-2009 @ Jumaat,

Berkuliah kali pertama di Masjid Pasir Minal, Kemaman. Sebelum ini saya hanya menjadi pendengar sahaja terutama jika al Fadhil Ustaz Mustafa Kamal, mudir Ribath Batu Buruk datang menyampaikan kuliah setiap bulan… namun inilah yang dikatakan kehendak Allah, kali ini saya pula yang memberi kuliah.

Rasa amat kerdil diri, tiada layak untuk berada di hadapan jamaah… namun, demi amanah ilmu dan amanah Guru, demi mencari setitis cinta Allah dan cinta Rasul, saya beranikan diri, dengan kesedaran betapa banyak dosa akan diri ini, dan tiadalah ilmu ini melainkan kurnia Allah yang di’tajalli’kan melalui Syaikh saya di Pulau Manis.

Saya membacakan ayat 10-11 surah As-Shaff yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan kepada kamu suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah, dan Rasul dan kamu berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Itulah yang sebaik-baiknya jika kamu mengetahui.”

Saya kaitkan ayat ini dengan perjanjian di alam Ruh, bahawa alam syariat ini menjadi medan untuk Ruh membuktikan akan perjanjiaan kehambaannya sepertimana di alam ruh dahulu lagi. Perintah kehambaan itu bukan hanya bermula bila kita lahir, tapi hakikatnya ia telah pun bermula ketika di alam Ruh dahulu.

Maka antara bukti kehambaan itu ialah wajib kita beriman kepada Allah dan Rasul sehingga kepada tahap mencintai Allah dan Rasul… cinta itu akan menghasilkan momentum iman untuk seseroang itu beribadah, berdakwah dan berjihad membangunkan agama Allah SWT di atas muka bumi ini.

Saya difahamkan ianya disiarkan secara langsung melalui internet! (semoga Allah pelihara saya dari bicara yang menimbulkan kekeliruan dan kesalahan)

WaLlahu ‘alam.

(Nota : Kuliah akan datang pada 20 Mei, Rabu malam Khamis)

Halaqah Zikir dan Tazkirah Tauhid Tasawuf di D.Mas

6-05-2009 @ Rabu,

Alhamdulillah, malam tadi program dwi-bulanan ini berjalan seperti biasa selepas tertangguh pada minggu sebelumnya.

Program kali ini diadakan di rumah En Jusoh, tak jauh dari pejabat Ketengah. Mula dengan solat isya, zikir, tazkirah dan doa munajat.

Juga soal jawab berkaitan kesan-kesan pengamalan dan sebagainya, juga bicara tentang kefakiran dan ubudiyah.

Kuliah Maghrib di Masjid As Solehin Kemaman

6-05-2009 @ Rabu,

Pada 3 Mei, Ahad malam Isnin,saya berkuliah Maghrib buat kali ke-2 di Masjid As-Solehin Kemaman. Sampai di masjid ketika para jamaah sedang berdoa kerana tersangkut dalam ‘traffic jam’ di Jambatan Bukit Kuang… (masalah jambatan sempit ini dah bertahun-tahun belum selesai, hairan juga…)

Sebenarnya masih belum ‘kebah’ dari demam dan batuk, bercakap pun dalam keadaan paksa-paksa suara supaya keluar. Kali ini saya bicarakan tentang matlamat ibadah, apa sebenarnya yang dikehendaki dalam perintah ibadah. Jika beribadah tapi tak tau golnya, ibarat orang yang gali telaga tapi tak tau tujuannya ialah untuk mendapatkan air. Bila tak tau gol, mungkin bila letih dan penat ia akan berhenti di pertengahan jalan. Atau mungkin dia asyik dengan apa yang dilakunya tapi tiada hasilnya.

Bila ia tahu ia menggali telaga untuk mendapatkan air, maka dia akan terus menggali sampailah jumpa air.

Begitu juga dalam beribadah, matlamatnya ialah untuk datang sifat kehambaan dalam diri. Jika beramal tapi masih ada kesombongan, cinta dunia, riya’, hasad dengki, tamak haloba, rasa berkudrat, rasa berilmu dan sebagainya… maka dikatakan ibadah itu belum sampai kepada maksud yang dikehendaki.

Guru saya juga pernah qiaskan bahawa jika beramal tapi tapi tak terbitkan sifat Tauhid dan Tasawuf pada diri, maka ibadah dan amalan yang dilakukan belum ada hasil lagi, belum dapat buah. Ibarat orang yang memanjat pokok, hanya boleh mencapai dahan sahaja tapi tidak menghasilkan buah.

Saya juga bercerita tentang kepentingan mempunyai amal khususiah untuk percepatkan proses memiliki cahaya kehambaan dalam diri. Ilmu semata-mata tak boleh mendatangkan ‘rasa’ dan ‘pandang’ @ boleh sampaikan kepada Ihsan (“Ihsan itu kamu sembah Allah seolah-olah kamu melihat Allah (musyahadah), jika kamu tak melihat Allah maka kamu hendaklah merasakan Allah melihat kamu (muraqabah)” – hadith sahih riwayat Imam Bukhari dan Muslim, petikan dari hadith yang panjang riwayat Saidina Umar al-Khattab r.a)

Nak capai Ihsan, kena sucikan hati, kena tukarkan cahaya mazmumah kepada cahaya makrifat. Proses ini bukan dengan ilmu, tapi dengan amalan. Amalan bagaimana? Rujuk kepada ulama Tauhid Tasawuf, mereka pakar dalam soal-soal rohani. Nescaya akan ditemukan kaedah dan disiplin yang digariskan oleh mereka.

Dalam hal ini saya huraikan dalil-dalilnya betapa perlunya kepada amalan khususiah (kadang-kadang disebut tariqah… tariqah maknanya ‘jalan’… jalan untuk mencapai ihsan) dengan merujuk kepada peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah SAW. Di situ terpancar cahaya petunjuk akan perlunya kepada taubat, amalan bersilsilah, zikir yang ditalkinkan, guru Mursyid dan lainnya... insya Allah saya akan huraikan hal ini dengan lebih mendalam dalam kesempatan lain.

(Tarikh kuliah akan datang : 16 Mei)

Tazkirah Tauhid Tasawuf di Paka

6-05-2009 @ Rabu,

Saya memenuhi jemputan Ustazah Arinab dan suaminya En. Othman untuk menyampaikan tazkirah kepada ahli-ahli keluarga dan sahabat handai mereka. Program diadakan pada Sabtu 2 Mei.

Ini boleh dikatakan program pertama saya di Paka selepas berpindah di sini kira-kira 3 bulan lalu. Selama ini, walaupun tinggal di Paka tapi terpaksa memenuhi komitmen sedia ada di Kemaman, Ketengah Jaya, Durian Mas serta di luar Terengganu. Maka saya berharap mulai 1 Mei 2009 (sempena hari jadi saya juga… alahai sekarang dah umur 35 tahun, dah tua tapi masih tak sedar diri lagi!), insya Allah saya akan tumpukan lebih lagi kepada kawasan Paka, Dungun dan sewaktu dengannya.

Walaupun kadang-kadang program dibuat di atas nama ITC namun ia sebenarnya mendokong aspirasi dan methodologi IPTAF sebagai ‘Guru Induk’ dan tempat rujukan dalam setiap pengisian dan perlaksanaan program-program ITC.

Berbalik kepada program ini, alhamdulillah kehadiran lebih 20 orang, diadakan di rumah Abang Din, tauke Kedai Makan Liza Paka. Kedai ini dah 2 tahun berturut-turut dianugerahkan sebagai Restoran Terbaik Negeri Terengganu oleh kerajaan negeri.

Majlis dimulakan dengan solat Isya berjamaah. Kemudian disusuli dengan tazkirah berkisar kepentingan iman dalam kehidupan, matlamat diperintah ibadah, bagaimana membina rumahtangga dan keluarga yang mendapat barakah dan pertolongan Allah.

Diakhiri dengan sesi soal jawab dan jamuan ringan.

Jika tiada aral program ini akan diadakan sebulan sekali di tempat yang sama, insya Allah.

Laman Ikatan Pengkajian Tauhid Tasawuf

5-05-2009 @ Selasa,

Alhamdulillah, walau belum siap sepenuhnya, para pengunjung sudah boleh mendapatkan informasi mengenai IPTAF beserta gambar-gambar yang dipaparkan.

Sila ke www.iptaf.net

Motivasi Rohani di SMKA Al-Falah Kemaman

5-05-2009 @ Selasa,

Walaupun belum sembuh sepenuhnya dari demam dan batuk, saya gagahkan diri memandu ke Kemaman berseorangan dari Paka, ambil masa kira-kira 45 minit. Ini bagi memenuhi jemputan pihak alumni SMKA Al-Falah bagi mengisi slot motivasi rohani untuk kira-kira 100 orang pelajar putra dan putri.

Program selama 2 hari ini adalah inisiatif bekas-bekas pelajar untuk adik-adik mereka. Bila lihat usaha mereka ini, teringat saya kenangan silam selepas tamat form 5 di Sek Men Sains Sultan Mahmud (Sesma) K. Terengganu dan UITM Dungun. Saya bersama dengan teman-teman juga pernah ambil inisiatif seperti ini, bantu bimbing dan buat program untuk adik-adik. Masih ingat lagi, kami tubuhkan ‘istiqamah.link’ sebagai platform alumni yang ikut usrah dan ahli persatuan siswa/i Islam (Psitm).

Slot saya bermula 11 malam hingga 1 pagi. Wow! Ini suatu sejarah, kerana belum pernah lag saya terima jemputan dalam waktu seperti ini. Kalau program anjuran sendiri, biasalah habis lewat-lewat bahkan pernah sampai jam 3 pagi!

Saya diminta membawakan Modul Perjalanan Diri seorang Hamba. Dalam masa yang agak suntuk menggunakan LCD projektor, saya cuba huraikan perjalanan hidup seorang manusia, matlamatnya dan ke mana akhir perjalanannya nanti.

Hakikat diri adalah ruh, selepas membuat perjanjian dan penyaksian akan KeTuhanan dan Kehambaan diri, maka ruh ‘diturunkan’ ke alam dunia untuk membuktikan janjinya itu. Wajib ia memelihara ‘cahaya makrifat’ dirinya dengan jalan menuruti syariat yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW… namun jalannya tidak mudah kerana di sana adanya syaitan, nafsu, makhluk dan dunia yang akan menghalang perjalanannya kepada Allah (disebut dalam kitab Minhajul ‘Abidin karya Imam Ghazali rahimahullah Ta’ala). Saya bicarakan juga tentang saat kematian yang akan tiba pada bila-bila masa dan jalan-jalan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dunia akhirat. Ditayangkan juga beberapa klip video dan gambar-gambar untuk bangkitkan kesedaran dan keinsafan.

Kemudian saya ajak mereka bertafakur, merenung diri sedalam-dalamnya… disertai dengan zikir munajat, alunan nasyid, muhasabah dan disudahi dengan zikir munajat.

Saya doakan adik-adik semua di SMKA Al-Falah akan menjadi insan-insan yang berguna kepada agama, masyarakat dan negara… serta menjadi pemimpin yang akan memimpin manusia ke jalan keredhaan Allah SWT, insya Allah.

Demam vs Influenza A?

5-05-2009 @ Selasa,

Selesai program di Ajil, saya demam campak. Semua program terpaksa dibatalkan. Namun hikmahnya saya dapat tumpukan kepada membina laman IPTAF dan selesaikan beberapa kerja yang tertangguh depan laptop.

Demam ini adalah suatu kaffarah bagi saya! Itu saya pasti… banyak cakap banyak salahnya, dan banyaknya perkara yang saya ‘cakap tak serupa bikin’. Tapi kerana amanah Guru untuk menyebarkan ilmu (sekadar mampu), apa yang yang ada harus diteruskan sambil bermuhasabah.

Ramai teman-teman menyatakan jarang sekali campak menyerang orang dewasa. Ketika ini berita wabak selsema babi @ Influenza A @ H1N1menghiasi media-media masa setiap hari. Memang setiap yang berlaku ada sebab musababnya, namun hakikatnya ia adalah peringatan, kalau tak pun bala dari Allah, di atas sebab-sebab yang Allah SWT jua Maha Mengetahui.

Semoga kita semua terpelihara dari hal-hal yang tak diingini.

Ceramah Maulidur Rasul bersama Ribath Pulau Manis

25-04-2009 @ Sabtu,

Memenuhi jemputan pihak AJK Surau Al-Muttaqin Ajil, Kuala Berang, saya bersama dengan anak-anak Ribath Pulau Manis mengisi program Maulidur Rasul di surau ini yang diadakan pada Jumaat 24 April, bermula solat maghrib. Ini adalah kombinasi pertama saya dengan Ribath Pulau Manis yang disertai kira-kira 27 orang pelajarnya, termasuk 2 orang anak saya… (maklumat mengenai Ribath boleh dirujuk di Laman Ikatan Pengkajian Tauhid Tasawuf (IPTAF).

Majlis dimulakan dengan alunan qasidah yang disampaikan oleh anak-anak Ribath. Qasidah yang dibawakan mereka ialah “Assalamu’alaik, Ya Sayyidi dan Akhlaqul Karimah (versi Melayu)”… gemersik suara mereka membelah kesunyian malam dan membelai jiwa kira-kira 70 jamaah muslimin muslimat yang hadir.

Kemudian, mengambil masa kira-kira 40 minit saya menyampaikan tazkirah sekitar senario masyarakat masa kini yang melupai Nabi dan ajaran Baginda, bagaimana permainan dan jarum-jarum musuh yang ingin merungkaikan ikatan hati-hati umat Islam dengan Nabi… maka umat Islam akan makin jauh dengan ajaran Baginda dan hidup mengikut hawanafsu dan petunjuk musuh-musuh Islam.

Saya bawakan juga beberapa kisah kehidupan dan perjuangan Baginda, dan bagaimana cintanya para sahabat terhadap Baginda… mereka sanggup korbankan segalanya demi cinta kepada Rasulullah … sehingga Allah kurniakan pertolongan dan kemenangan dalam perjuangan mengibarkan panji-panji tauhid di atas muka bumi ini!

Majlis diakhiri dengan alunan Qasidah yang sekali lagi dibawakan anak-anak Ribath, iaitu “Ya Badratim” dan “An-Nabiy Sollu ‘Alaih” dimana semua jamaah berdiri sama-sama mengalunkannya. Kemudian disusuli dengan solat Isyak, doa munajat dan jamuan.

Alhamdulillah, rata-rata jamaah menyatakan gembira dan tersentuh hati dengan konsep sambutan seperti ini, walaupun dalam suasana sederhana tapi meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati mereka. Mudah-mudahan Allah melimpahkan cahaya cinta kepada Baginda ke dalam hati sekelian yang hadir, insya Allah.

(Nota : selesai program, anak-anak Ribath kemudian bertolak ke Belukar Bukit, untuk menyertai perkhemahan yang dianjurkan oleh pihak Madrasah Darul Muhajirin Bukit Jong)

KPI KETENGAH PERWIRA di Langkawi

24-04-2009 @ Jumaat,

Alhamdulillah, kursus ini berlangsung dengan jayanya bermula pada Selasa, 21 April 9 malam sehingga Rabu 22 April 5 ptg. Disertai kira-kira 20 orang dari Ketengah Perwira Sdn Bhd termasuk Pengurus Besarnya, En Mat Zain bin Jusoh. Hanya 2 peserta wanita.

Kalau ikut jadual asal, Tuan Hj Latif, Pengurus Besar Ketengah Holdings juga akan turut sertai kursus ini dari awal, namun saya dimaklumkan beliau tiba-tiba diminta mewakili Pengurus Besar Ketengah bermesyuarat di KL, maka kedatangan beliau terpaksa ditunda. Namun begitu, beliau sempat tiba pada penghujung program, ketika doa munajat dibaca… sempat juga beliau merasmikan acara penutup kursus berkenaan.

Kursus diadakan di Hotel Langkasuka, Langkawi. Ini kali kedua saya datang ke sini. Kali pertama bulan Julai tahun lepas bersama dengan Pengurus Bahagian Khidmat Pengurusan dan pegawai-pegawai beliau (Hj Omar Ismail).

Kursus kali ini, saya olah dari kursus Meneroka Rahsia Diri. Penekanan kepada hal-hal kualiti dalaman diri yang menentukan kejayaan organisasi. Dan seperti biasa, diakhirnya para peserta diberikan amalan wirid selepas solat bersanad sebagai suatu kaedah mencahayakan hati dan meningkatkan iman dan taqwa kepada Allah.

Maklum balas peserta amatlah baik, malah saya dijemput untuk ke tempat operasi mereka di Bandar Cheneh untuk mengadakan program susulan atau kuliah dwi-mingguan. Insya Allah, tiada aral saya akan sampai ke sana suatu hari nanti.

Kuliah Tauhid Tasawuf

24-04-2009 @ Jumaat,

18 April - Berkuliah maghrib di surau Mak Lagam. Surau inilah tapak pertama yang menjadi tempat saya untuk ‘training’ mengajar. Jika kebetulan pulang ke rumah ibu mertua dan surau 'free', biasanya Imam akan jemput saya untuk berkuliah. Tak dapat ditetapkan jadual mengajar di surau tersebut kerana faktor jarak dan komitmen lain.

19 April - Berkuliah kali pertama di masjid As-Solehin Kemaman. Masjid ini masih baru disiapkan namun ramai juga jamaahnya. Ada sedikit gangguan sistem suara pada permulaan kuliah, tapi tak menghalang semangat saya untuk mengajak jamaah melihat kepentingan tauhid tasawuf sebagai sumber motivasi unggul dalam kehidupan dan perjuangan menyambung dakwah Nabi صلى الله عليه وسلم. Insya Allah akan berkuliah sekali sebulan di masjid ini. (kemaskini : dijemput berkuliah lagi pada Ahad, 3 Mei)

Rehlah bersama anak Ribath Pulau Manis

18-04-2009 @ Sabtu,

Di bawah ini dipaparkan beberapa keping gambar anak-anak Ribath Pulau Manis ketika program Rehlah kelmarin di Kg Rajawali, Dungun kelolaan abg Hakim tauke bot tersohor di tempatnya.

Oleh kerana rehlah ini tak dirancang, hanya idea spontan shj, maka 11 anak-anak sahaja yang turut serta kerana yang lain telah pulang ke kampung masing-masing cuti hujung minggu.

Program bermula 3 ptg Jumaat 17 April, dengan beberapa aktiviti menarik. Antaranya, BBQ dan menaiki bot menyusur pantai hingga ke Tanjung Jara. Syaikh kami, Tokku turut hadir beserta 'kak Teh' dan hero 'abu Dzar'. Mudirnya, Ustaz Abi Ahmad memang tak pernah berpisah dengan anak-anak buah beliau.

Jika tiada aral, semua cerita dan aktiviti anak-anak Ribath Pulau Manis akan dimasukkan dlm web www.iptaf.net yang dlm pembinaan.


Mudir Ribath sedang memberikan kuliah selepas solat.


Mudir Ribath sedang memberikan kuliah selepas solat.


sedang bersiap memakai 'lifejacket'.


menaiki bot 'Qistina' milik abg Hakim.


depan kiri, hero 'Abu Dzar'.. mula-mula takut, kemudian berani gi mari pulak...


Mudir... gambar ini menceritakan banyak perkara...


Ha ha ha... minyak habis, terpaksa ditunda... nanti nak saman abg Hakim!

Rangkuman Kuliah / Ceramah

18-04-2009 @ Sabtu,

12 April – Ahad malam Isnin berkuliah maghrib di Surau Felda Kerteh, kitab Hikam Syeikh Ibnu ‘Athaillah, bicara tentang ‘kebodohan bagi orang yang berilmu tetapi mengikut hawa nafsunya, dan kecerdikan bagi orang yang walaupun tak banyak ilmu tapi berupaya mengekang hawa nafsunya.’

13 April – Isnin malam Selasa berkuliah maghrib di Surau Ketengah Jaya, kitab Hikam Syeikh Ibnu ‘Athaillah, bicara tentang ‘warid itu dicampakkan Allah dalam hati dengan tujuan mendorong salik (orang yang berjalan kepada Allah) masuk ke hadrat-Nya, melepaskan diri dari belenggu-belenggu dan hijab sehingga terpancar cahaya makrifatuLlah.’ Selepas Isyak diadakan halaqah zikir dan doa munajat. Sesungguhnya yang ditilik Allah adalah ‘HAL’ dalam qalbi. Hal diperolehi daripada warid, warid hasil dari amal, dan nak beramal bermula dengan ilmu.

14 April – Selasa, 9-10 pg : Tazkirah Tauhid Tasawuf kepada hampir 30 wanita di Kerteh yang mengikuti kelas pengajian Al-Quran ustaz Zamri Kemasik. Bicara tentang diri, iman dan kehidupan, jawapan-jawapan kepada permasalahan hidup. Alhamdulillah, respons positif dan minta diadakan lagi.

14 April – Selasa malam Rabu : Halaqah zikir di rumah Hj Nawi di Durian Mas, Dungun. Bermula dengan solat Isyak, halaqah zikir, doa munajat dan tazkirah Tauhid Tasawuf. Kehadiran hampir 20 orang termasuk suami isteri. Mereka adalah sebahagian daripada kakitangan KETENGAH yang pernah mengikuti program-program pihak ITC. Juga telah menerima amalan wirid bersilsilah. Insya Allah program ini akan dijalankan 2 minggu sekali.

15 April – Rabu malam Khamis berkuliah maghrib di Surau Kijal, bicara tentang ‘Mujahadah’ daripada kitab Haqaiq Tasawuf, Syeikh Abd. Qadir Isa (rahimahullah). Dibahagikan mujahadah kepada 3; mujahadah lawan musuh yang zahir, syaitan dan nafsu. Hakikatnya tiada pemisahan dalam mujahadah, tiada perlu berbalah dalam menyatakan yang mana lebih utama dsb… yang penting, kita setiap saat wajib bermujahadah melawan nafsu dan syaitan, tiada tunduk kepada keduanya… sehingga mendatangkan kecintaan yang haq kepada Allah dan Rasul.. dan dalam masa yang sama, sentiasa bercita-cita untuk berjihad di jalan Allah, hatta sanggup mengorbankan segalanya demi cinta Allah dan RasulNya!

16 April – Khamis malam Jumaat memenuhi jemputan sulung untuk berkuliah maghrib di Masjid Bukit Kuang, Kemaman. Bicara tentang dakwah dan perjuangan. Bicara tentang cinta Allah dan Rasulullah SAW. Bicara tentang kepentingan Tauhid Tasawuf dalam segala yang dilakukan. Kemuncaknya ialah terbit cinta kepada Allah, Rasul dan cinta kepada jihad fi sabiliLlah.

17 April, 9.30 pg – Setelah beberapa kali menangguhkan program dwi-bulanan ini, alhamdulillah ia dapat dijalankan semula. Program untuk kaum wanita/muslimat felda Kerteh ini dimulakan dengan bacaan zikir manaqib, tahlil dan doa munajat. Kemudian tazkirah Tauhid Tasawuf. Kehadiran kira-kira 30 orang.

Tamrin Rohani Wanita kali ke-3

17-04-2009 @ Jumaat,

Alhamdulillah, Tamrin Rohani Wanita berjaya dijalankan dengan jayanya. Program yang bermula petang Khamis (9 April) dihadiri kira-kira 20 peserta yang terdiri dari ex-peserta Program Cahaya Iman. Pada malamnya diadakan majlis zikir di surau Hj Othman yang turut disertai oleh sahabat-sahabat seguru serta suami-suami mereka.

Selesai zikir, ustaz Sabri dan Khairul memimpin bacaan qasidah dan selawat seperti mana yang dialunkan ketika program maulud tempohari. Sangat mengesankan pada jiwa dan kerinduan kepada Rasulullah SAW makin meluap-luap sehingga menitiskan air mata.

Program berakhir pada tengahari esoknya (Jumaat).

Rangkuman Cerita Kami

08-04-2009 @ Rabu,

Salam kepada semua penjenguk laman ini,

1. Mohon kemaafan kerana agak lama tidak kemaskini laman ini. Semenjak awal tahun 2009 hingga saat ini, memang tidak banyak program rasmi yang dijayakan oleh pihak kami. Lagi pula, kami harus memberi tumpuan kepada beberapa agenda dalaman yang melibatkan beberapa pihak. Ada juga beberapa jemputan program yang terpaksa ditolak atau diserahkan kepada teman-teman yang lain.

2. Kebetulan, saya juga diamanahkan untuk mengemaskinikan pentadbiran Ikatan Pengkajian Tauhid Tasawuf (IPTAF) yang baru ditubuhkan. Pada Sabtu 4 April baru-baru ini IPTAF telah menganjurkan Majlis Maulidur Rasul SAW 1430H di Dewan Dato’ Seri Amar Diraja Kemaman, Terengganu. Alhamdulillah ia berlangsung dengan jayanya, dihadiri kira-kira 2,500 orang, bermula 8.30 pg – 12.30 t/hari. Persiapan hanya sempat dibuat dalam tempoh 2 minggu sahaja, namun syukurlah di atas doa dan kerjasama semua pihak, ia dapat berjalan seperti yang dirancang. Insya Allah, maklumat lanjut beserta gambar-gambar program akan dimasukkan ke laman IPTAF yang sedang dibina. (www.iptaf.net)

3. Semalam saya bergegas ke Pulau Manis kerana menghadiri majlis solat jenazah dan persemadian seorang ikhwan yang meninggal dunia kira-kira jam 9 malam sebelumnya. Allahyarham yang lebih mesra dikenali sebagai ‘Sith’ berusia 38 tahun pulang ke sisi Allah bersabitkan masalah kesihatan yang telah lama ditanggungnya. Beliau disemadikan di perkuburan yang terdapatnya di situ Makam Tok Pulau Manis, berhampiran kubur bapa dan abangnya. Allahyarham adalah antara orang yang banyak berkhidmat dan menumpahkan banyak masa, tenaga dan harta yang ada dalam membangunkan tempat Guru kami di Pulau Manis. Insya Allah saya akan nukilkan hal ini bila berkesempatan nanti.

4. Pada Ahad 29 Mac yang lalu, kursus Meneroka Rahsia Diri telah diadakan di Masjid al-Munawarrah, sek. 27, Shah Alam. Walaupun di saat akhir beberapa peserta terpaksa menguzurkan diri kerana mempunyai komitmen lain, namun kursus tersebut diteruskan juga walaupun bilangan yang tinggal boleh dibilang dengan jari. Namun dari satu segi bukan bilangan yang nak diukur tapi adalah kesungguhan dan ketulusan serta tawadhu para peserta untuk mendalami ilmu Tauhid Tasawuf dan pengamalan menuju Allah SWT.

5. Saya juga teruja untuk bercerita tentang Ribath Pulau Manis, yang baru 3 bulan ditubuhkan di Pulau Manis yang sekarang ini mempunyai hampir 30 anak-anak lelaki berusia 9-12 tahun. Pancaran cahaya wajah mereka, keletah dan karenah mereka serta aktiviti-aktiviti yang dilakukan mereka akan saya paparkan nanti insya Allah di www.iptaf.net. Inilah generasi Ulama Rabbani berjiwa Sufi dan Dai’e yang sedang dalam pembinaan… suatu masa nanti insya Allah mereka akan memimpin masyarakat ke jalan kesepaduan antara syariat dan hakikat, jalan ubudiah, jalan dakwah dan perjuangan menyebarkan cahaya Ilahiah ke dalam dada masyarakat.

6. Ada beberapa syarikat yang berpejabat di Putra Jaya berhubung dengan pihak kami untuk merundingkan kerjasama program pembangunan insan dan motivasi. Memang banyak juga permintaan kepada pihak kami untuk program di sebelah KL % Selangor, malah di Johor, tapi disebabkan halangan-halangan tertentu, kami masih belum berupaya menunaikan hajat mereka itu.

7. Kerjasama program dengan pihak KETENGAH juga insya Allah akan dilangsungkan lagi pada akhir bulan ini. Pihak kami sedang menanti maklumat lanjut mengenai cadangan program tersebut, yang dijangka diadakan di luar Terengganu.

8. Selain itu, jadual kuliah saya di masjid dan surau berjalan seperti biasa. Sebahagiannya saya hadkan kepada sekali sebulan sahaja walaupun mereka mahukan seminggu sekali. Adakalanya kuliah dijalankan 5 malam berturut-turut di tempat-tempat yang berlainan setiap minggu. Saya coretkan hal ini bukan tujuan untuk berbangga dan sebagainya, tapi terjemahan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana masyarakat masa kini sudah ingin kembali kepada perjalanan Tauhid Tasawuf, Syariat dan Hakikat, Jalan keTuhanan dan Kehambaan dan seumpamanya. Inilah jawapan kepada persoalan untuk mencari penawar yang terbaik bagi menyembuhkan pelbagai penyakit masyarakat masa kini.

9. Esok (Khamis) sehingga Jumaah saya akan kendalikan Tamrin Rohani Wanita Ketengah + Kemaman sekitar 20 orang. Mereka adalah di kalangan yang pernah mengikuti program-program anjuran kami dan telah menerima amalan bersilsilah. Mudah-mudahan Allah SWT memberkati program ini dan tentunya, saya juga mohon izin dan restu dari Guru saya, Syaikh Hj Ibrahim Mohamad Asy-Syathari (Pulau Manis).

10. Makluman mengenai hal-hal lain insya Allah akan menyusul kemudian. Terima kasih kerana sudi membaca sampai ke perenggan terakhir! Jazakallah.

Bercuti...

12-03-2009 @ Ahad,

Maaf Januari 2009 tak banyak aktiviti dapat dipaparkan di sini. Saya menumpukan pada aktiviti dalaman dan program susulan. 'dok tubit ganu'!

Tazkirah Tauhid Tasawuf di Ketengah Jaya, Dungun

10-01-2009 @ Sabtu,

Diadakan di sebuah surau di Ketengah Jaya pada Jumaat 9 Jan 2009, mulai 9.30 pg – 11.30 pg. Dihadiri kira-kira 30 wanita dimana sebahagian besarnya merupakan bekas peserta PCI sebelum ini. Insya Allah program seperti ini akan diadakan 2 minggu sekali, diisi dengan zikir-zikir, selawat, tazkirah dan soal jawab.

Kursus MRD di Subang Jaya, Selangor

04-01-2009 @ Ahad,

Pihak kami memenuhi permintaan khusus dari sepasang suami isteri untuk mengadakan kursus tersebut di rumah mereka pada Sabtu 3 Jan baru-baru ini. Semua pesertanya adalah ahli keluarga mereka dan sebahagian besar darinya merupakan alumni ESQ 165.

Alhamdulillah, program bermula sekitar jam 10 pg dan berakhir kira-kira jam 6 ptg. Ia dijalankan secara santai, muzakarah dan soal jawab. Dan oleh kerana ia bersifat kekeluargaan maka sebahagian modulnya diolah sedikit agar sesuai dengan audiensnya.

Ramai juga alumni ESQ 165 yang mengikuti kursus MRD ini sebelum ini. Sifat keterbukaan dan kesungguhan untuk mencari ‘cahaya kebenaran hakiki’ dalam hidup mendorong mereka untuk berterusan mencari program-program yang boleh mengukuhkan azam dan jatidiri mereka secara berterusan. Menariknya, suatu hal yang disepakati ialah kekuatan spiritul (rohani) itu merupakan tunjang atau teras dalam kecemerlangan dan kebahagiaan hidup seorang insan.

Apapun istilah yang digunapakai bagi menggambarkan kepentingan unsur rohaniah itu, yang penting ialah praktikalnya. Maksudnya di sini ialah perlu memastikan methodologi bagi mencapai tujuan-tujuannya itu bersumberkan aqidah Islam yang haq (Ahlus Sunnah wal Jamaah) dan menurut disiplin-disiplin ilmu dan amalan khususnya yang digariskan oleh Ulama Tauhid Tasawuf.

Kerana apabila menyentuh soal kerohanian, ia berkait dengan aspek mengenal diri mengenal Allah, tipudaya-tipudaya alam rohani, adab dan prinsip-prinsip amalan dan lainnya. Justeru di sana, sebaik-baik jalan dalam perkara ini ialah mencari guru Mursyid dan menjadikan Ulama Tauhid Tasawuf (yang menggali rahsia Al-Quran dan Hadith) sebagai rujukan utama bagi menjamin sampai kepada matlamatnya dan mendapat natijah rohani yang hakiki.

Wallahu ‘alam.

Kursus MRD Kuala Terengganu

28-12-2008 @ Ahad,

Kursus ini telah dijalankan pada Sabtu 27 Dis 2007 bertempat di Bilik Mesyuarat Persatuan Darul Fitrah, Kuala Terengganu. Program yang asalnya dijadualkan diadakan di sebuah hotel berhampiran terpaksa diubah pada saat-saat kerana masalah teknikal di pihak hotel. Kami meminta maaf di atas perkara yang tak dapat dielakkan ini.

Walau bagaimanapun, kursus berjalan dengan lancar. Dan menariknya kali ini ialah peserta-peserta yang hadir terdiri beberapa pasangan suami isteri dan pelbagai latarbelakang. Ada Doktor dari Hospital Besar K. Terengganu, pakar Rawatan Kecantikan dan Rawatan Alternatif, Ustazah dan usahawan.

Semoga hubungan yang terjalin akan berterusan, insya Allah.

Tamrin Rohani Wanita Kemaman Siri II

26-12-2008 @ Jumaat,

Tamrin Rohani Wanita Kemaman Siri II berjaya diadakan pada 25-26 Dis. 2008 bertempat di Dewan Latihan Irsyad Training & Consultancy Kemaman. Ianya dihadiri 20 peserta wanita dan dikendalikan sepenuhnya oleh Pengurus ITC.

Program 2 hari 1 malam ini memfokuskan kepada pengisian dan pemantapan rohani, muzakarah ilmu, qiamullail, zikir munajat dan lainnya. Mereka juga telah diijazahkan dengan Amalan Zikir Manaqib Syeikh Abd Qadir Jailani, suatu amalan bersilsilah yang mempunyai banyak manfaat zahir dan batin, dunia dan akhirat.

Berdasarkan maklum balas peserta, program ini benar-benar memberi kesan yang mendalam ke dalam jiwa mereka, memberi kekuatan jiwa, ketenangan dan semangat untuk menempuh ujian-ujian kehidupan dengan sepenuh keimanan.

Semoga Allah SWT memudahkan segala usaha yang kita lakukan, insya Allah.

Kursus MRD di Shah Alam, Selangor

21-12-2008 @ Ahad,

Lebih 20 peserta hadir pada kursus kali ini yang diadakan di Bilik Kuliah Masjid Al Munawarrah Sek 27 Shah Alam, Selangor. Ini adalah diluar jangkaan kerana biasanya pihak kami menghadkan penyertaan kepada 15 peserta sahaja.

Alhamdulillah program berjalan dengan baik dan mendapat maklumbalas yang positif dari para peserta. Program bermula 9 pg dan tamat kira-kira jam 6 ptg.

Selain modul sedia ada, isi kandungan kursus juga sentiasa ditingkatkan dari masa ke semasa. Antara perkara baru yang diketengahkan ialah konsep Tauhid Tasawuf yang dibahagikan kepada Tauhid Iktiqadiah, Tauhid Syuhudiah dan Tauhid Wujudiah.

Ketiga-tiga pembahagian Tauhid ini adalah dasar kepada kebenaran pegangan Akidah Ahlul Sunnah wal Jamaah aliran Asya’irah dan al Maturidiah. Secara ringkasnya, penerangannya adalah seperti berikut:

1. Tauhid I’tiqadiah adalah Tauhid Ilmu Ketuhanan yang biasanya dihuraikan dalam perbahasan Sifat 20. Tauhid ini adalah tauhid ilmu yang mengesahkan pegangan seseorang dengan akidah Ahlu Sunnah wal Jamaah. Seorang mukmin tidak sepatutnya hanya berhenti pada tauhid ini kerana mereka amat mudah tergelincir kepada aqidah sesat seperti Muktazillah atau Qadiriah dalam pengamalan. Ini disebabkan hati mereka terhijab dengan diri dan hukum asbab sehingga tiada wujud Tuhan baik dari sudut perkataan dan pengamalan.

2. Tauhid Syuhudiah adalah tauhid yang berasaskan cahaya hati dimana hati mereka sudah tersyuhud (memandang) kepada Allah dalam setiap gerak dan perlakuan. Tauhid ini menyempurnakan seorang itu dalam aqidah Ahlu Sunnah wal Jamaah. Tauhid ini diperolehi hasil dari amalan tariqah yang menghimpun zikir, mujahadah, muraqabah dan tawajuh (penumpuan hati kepada Allah).

3. Tauhid Wujudiah ialah perasaan keleburan yang tinggi sehingga fana ia daripada melihat wujud yang lain melainkan wujud Allah semata-mata. Ia adalah hasil dari latihan zikir dan musyahadah di bawah bimbingan mursyid. Ia adalah kesempurnaan tauhid Ahlu Sunnah wal Jamaah yang hanya melihat satu wujud saja, hancurlah ananiahnya (keakuan dirinya), tiada baginya terhijab dengan amal dan pergantungan pada asbab.

Insya Allah program susulan kepada semua bekas peserta MRD akan diadakan 2 bulan sekali.

* Sebarang persoalan mengenai pembahagian dan penerangan mengenai ketiga-tiga Tauhid di atas, sila rujuk kepada Ahlinya (yakni mereka yang berkelayakan dan diberi izin untuk menjelaskannya)

Lihat Foto

Motivasi “Cahayakan Hidupmu!” Cheras, KL

20-12-2008 @ Sabtu,

Program ini diadakan pada 20 Dis 2008 di Cheras, Kuala Lumpur melibatkan penyertaan 7 remaja lelaki berserta ibu bapa dan ahli keluarga mereka. Remaja-remaja ini merupakan sebahagian anak-anak muda yang terjerumus kepada gejala sosial akibat kecetekan ilmu, mengikut fikiran dan nafsu serta pengaruh suasana sekitar dan kawan-kawan yang merosakkan. Akibatnya mereka telah membuat langkah yang salah dan akhirnya memakan diri sendiri. Mereka ditangkap pihak berkuasa dan merasai pengalaman yang amat memeritkan ketika di lokap.

Program ini diadakan dari 10 pg – 5 ptg sebagai permulaaan. Yang menariknya ianya dibuat diatas inisiatif ibu bapa mereka dan kesedaran diri sendiri untuk berubah dan membina arah hidup yang baru.

Semoga titisan air mata dan janji kesedaran untuk perubahan yang dilafazkan di hadapan ibu bapa tak akan disia-siakan. Di pihak ibu bapa pula, sebaiknya bersabar dalam menempuh ujian ini, muhasabah diri, banyakkan doa dan munajat kepada Allah agar menolong kita serta jangan mengharapkan perubahan yang drastik dari mereka. Setiap yang berlaku, jika tak kembali kepada tauhid dan sifat kehambaan, maka setiap ujian itu akan dilihat sebagai menyakitkan yg kadang-kadang buat kita hilang pertimbangan dalam tindakan.

Pihak ibu bapa bersetuju untuk mengadakan program ini secara berkala agar semangat perubahan di kalangan anak-anak mereka akan terus subur dan suatu masa mereka mempunyai kekuatan untuk tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama.

* maaf kerana gambar foto terpaksa dikaburkan demi kebaikan pihak-pihak yang terbabit.

Lihat Foto

Program Motivasi dan Pengukuhan Rohani Rakan Burdah Kemaman

19-12-2008 @ Jumaat,

Buat julung kalinya, program ini telah diadakan pada 16-18 Dis. 2008. Ianya dibahagikan kepada 2 sesi iaitu 16-17 Dis untuk remaja lelaki dan 17-18 Dis untuk remaja perempuan.

Penyertaan amat memberangsangkan dimana seramai 92 lelaki dan 70 perempuan telah menyertainya. Program dijalankan di pejabat ITC dan di Dewan Burdah Surau Hj Othman Chukai.

Program ini dikendalikan oleh tenaga-tenaga dari Irsyad Training & Consultancy dan Akademi Damai Kemaman (ADAM).

Antara pengisian program ialah latihan pelbagai qasidah dan zikir, modul motivasi, solat berjamaah, latihan dalam kumpulan (LDK), latihan pengurusan diri dan sebagainya.

Secara keseluruhannya program ini mencapai matlamatnya dalam rangka merapatkan hubungan ukhuwah sesama Rakan Burdah, meningkatkan minat kepada amalan-amalan kerohanian, mendekatkan diri kepada Allah, mencintai Rasulullah SAW, berakhlak mulia dengan ibu bapa, guru dan lain-lainnya.

Insya Allah program ini akan dikembangluaskan lagi skopnya pada tahun 2009 dengan aktiviti perkhemahan, hari keluarga, sukan dan rekreasi, latihan kepimpinan dan sebagainya.

Lihat Foto

Kem Remaja Sihat 2008 (Perempuan) Kluang, Johor

13-12-2008 @ Sabtu,

Kem pada kali ini mempunyai aturcara yang sama seperti sebelumnya, cuma peserta kali ini semuanya adalah remaja perempuan seramai 37 orang dari sekitar daerah Kluang. Semuanya berusia 13 thn-17 thn kecuali seorang yang berumur 11 thn (darjah 5).

Kem yang diadakan pada 12-13 Dis. 2008 ini berlangsung di tempat yang sama. Segala kemudahan yang ada di situ kami manfaatkan sepenuhnya dan disesuaikan dengan modul-modul berkaitan.

Jika adik-adik bekas peserta membaca catatan ini, pastikan apa yang adik-adik lalui sepanjang program itu dirahsiakan ya! Jadikan ia suatu kenangan dan pengalaman yang berkekalan agar ilmu yang dipelajari itu terus subur dalam jiwa adik-adik; teguhkan keimanan, tingkatkan ilmu dan semangat untuk perubahan, hargai kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa, guru-guru, teman-teman yang baik dan siapa saja yang mengasihi kita…

Air mata yang menitis, laungan motto jatidiri, semangat ‘saya boleh berubah’, pelukan teman-teman, janji-janji yang dilafazkan kepada ‘ibu-ibu’, keringat yang menitis tika menempuhi cabaran-cabaran besar, ranjau dan tipudaya dalam kehidupan.

Kami akan sentiasa doakan adik-adik, dan adik-adik pula tolong jangan lupakan kami dalam doa kalian!

Lihat Foto

Kem Remaja Sihat 2008 (Lelaki) Kluang, Johor

6-12-2008 @ Sabtu,

Pihak kami telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan Kem Remaja Sihat 2008 untuk seramai 38 remaja lelaki berumur 13-17 tahun. Mereka adalah remaja terpilih dari seluruh daerah Kluang, Johor. Diadakan pada 5-6 Dis. 2008 bertempat di Koref Eco Farm Resort, Kluang. Ia suatu yang agak menarik dengan pelbagai kemudahan disediakan.

Kem ini merupakan anjuran bersama Persatuan Sukan & Kebajikan Perubatan, Kesihatan & Pergigian Daerah Kluang dan Pejabat Agama Daerah Kluang. Pihak kami difahamkan ini adalah program yang julung kali diadakan oleh kedua-dua pihak dalam pendekatan seperti ini.

Program ini telah bermula sehari sebelumnya (4 Dis.) dimana para peserta telah terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, forum agama dan berqiamullail di masjid berhampiran. Ia dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga-tenaga dari Pejabat Kesihatan Daerah dan Pejabat Agama Daerah.

Terima kasih kepada Dr Zuhaida (Pejabat Kesihatan) dan Ustazah Fazidah (Pejabat Agama) serta kakitangan mereka di atas kepercayaan dan bantuan yang telah diberikan selama program ini berlangsung

Lihat Foto

Program Cahaya Iman (Pci) di Kijal

3-12-2008 @ Jumaat,

Lebih dari 30 peserta wanita terutama di kalangan kaum ibu hadir ke Pci yang diadakan di sebuah surau di sini. Program ini telah diadakan pada Rabu, 3 Dis. bermula jam 9 pg – 12 t/hari.

Walaupun turut disertai oleh peserta-peserta ‘cilik’ (anak-anak kecil) namun ia berjalan dengan baik. Dan atas permintaan peserta, insya Allah program susulan selama 1 jam setengah akan diadakan 1 bulan sekali mengikut tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Program Dwi-Mingguan Rakan Burdah

29-11-2008 @ Sabtu,

Pada Sabtu, 29 Dis. 2008 telah diadakan program pertama Rakan Burdah yang dilancarkan seminggu sebelumnya. Alhamdulillah, penyertaan telah meningkat kepada 190 orang dengan pecahan remaja lelaki 102 orang dan perempuan 98 orang.

Program diadakan dari jam 2 – 5 ptg dimana anak-anak lelaki di Dewan Burdah Surau Hj Othman dan anak-anak perempuan di Pejabat Akademi Damai (ADAM) yang terletak bersebelahan.

Program diisi dengan sesi ‘ice-breaking’, ta’aruf, pembahagian kumpulan, latihan pelbagai qasidah, latihan membetulkan wudhu’ dan diakhiri dengan solat asar berjemaah. Selepas asar mereka mengalunkan zikir munajat beramai-ramai yang diketuai oleh Ustaz Sabri. Kemudian peserta bersalam-salaman dengan guru-guru mereka sambil melaungkan selawat.

Insya Allah, program ini akan diadakan setiap 2 minggu dan pengisian akan dipelbagaikan. Selain mereka dilatih dengan alunan qasidah-qasidah, juga diselitkan slot-slot motivasi, tayangan, permainan ‘indoor’ dan program seperti perkhemahan, lawatan, hari keluarga dan sebagainya dirancang untuk diadakan dari masa ke semasa.

Lihat Foto

Halaqah peserta PCi Ketengah Jaya

28-11-2008 : Jumaat,

Ini adalah program susulan pertama bagi 2 kumpulan peserta PCi di Ketengah Jaya, Dungun. Program diadakan pada Jumaat 28 Okt. bermula jam 9.30 pg dan berakhir pada 11.30 pg, diadakan di surau kawasan perumahan tersebut.

Walaupun dimaklumkan pada saat-saat akhir, namun kehadiran peserta adalah diluar jangkaan dimana hampir 30 orang wanita telah turut serta. Program telah diisi dengan zikir (khatam Tahlil), zikir munajat, tazkirah Tauhid Tasawuf dan soal jawab.

Selain bertujuan meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap apa yang dipelajari sebelum ini, ia juga menjadi medan memotivasi diri agar sentiasa fokus dengan matlamat hidup dan berpegang teguh dengan prinsip-prinsip keimanan dalam menghadapi segala ujian kehidupan.

Disamping itu, pertemuan seperti ini dapat mengukuhkan tali silaturrahim sesama mereka dan menghidupkan budaya nasihat-menasihati dan berkasih sayang demi mencari keredhaan Allah.

Jika tiada aral program ini akan diadakan sekurang-kurangnya 1 bulan sekali, insya Allah.

Pelancaran Rakan Burdah Remaja Kemaman

23-11-2008 @ 01:00 :. irsyad,

Program Pelancaran Rakan Burdah Remaja Kemaman ini telah dilangsungkan dengan jayanya pada Sabtu 22 nov 2008 di Dewan Seri Geliga, Majlis Perbandaran Kemaman bermula jam 8 pg - 11.30 t/hari.

Kehadiran hampir 500 ibu bapa dan anak-anak adalah di luar dugaan, dan seramai 173 remaja telah mendaftarkan diri menjadi ahli Rakan Burdah Remaja Kemaman.

Inisiatif menubuhkan Rakan Burdah ini tercetus setelah hampir setahun aktiviti Qasidah Burdah berjalan di kalangan kaum ibu terutamanya mereka yang pernah mengikuti program-program anjuran Irsyad Training & Consultancy.

Peserta-peserta Rakan Burdah ini sebahagiannya merupakan bekas peserta kem-kem motivasi anjuran ITC yang merupakan anak-anak mereka sendiri.

Baca lagi

Program Pemantapan Rohani & Qiamullail Wanita

18-11-2008 @ 13:00 :. irsyad,

Alhamdulillah, buat julung kalinya program ini dapat dijalankan dengan jayanya. Walaupun dihadkan kepada 10 peserta sahaja, namun 15 peserta telah hadir menyertainya.

Program ini bermula asar khamis dan berakhir 12 t/h jumaat dan diadakan di pusat Latihan Irsyad Training & Consultancy di Kemaman. Ia adalah program susulan (percuma) buat bekas-bekas peserta yang pernah mengikuti kursus-kursus yang pihak kami anjurkan sebelum ini.

Program diisi dengan solat berjamaah, zikir, doa munajat, pengajian kitab tauhid tasawuf, qiamullail dsb. Disamping menjadi medan mengukuhkan hubungan dengan Allah, ia juga berjaya merapatkan ukhuwah di kalangan peserta. Berdasarkan maklum balas, mereka inginkan program seperti ini diadakan pada setiap bulan.

Insya Allah jika tiada aral, program seumpama ini akan diadakan untuk peserta lelaki pula, dan ada beberapa teman dari JB telah menyatakan hasrat untuk hadir.

Kursus “Interaksi Dengan Allah” di KL

07-11-2008 @ 03:00 :. irsyad,

Saya mengesyorkan kepada bekas-bekas peserta kursus Meneroka Rahsia Diri khususnya di kawasan KL/Selangor @ dimana sahaja agar menghadiri kursus ini. Ia dikendalikan oleh teman seguru saya iaitu ustaz Abi Ahmad dimana beliau juga merupakan ‘sifu’ saya dalam bidang motivasi dan bina insan. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang berkaitan, latarbelakang pendidikan aliran tradisi dan moden, banyak membuat kajian terhadap sistem keilmuan Islam dan Barat, memiliki banyak sanad keilmuan serta salah seorang wakil guru yang diberi izin untuk mengijazahkan amalan-amalan bersilsilah.

Program ini amat sesuai khususnya untuk saudara/i yang pernah mengikuti kursus-kursus kendalian pihak Irsyad Training & Consultancy sebagai suatu medan pemantapan kefahaman dan amalan sedia ada.

Keterangan lanjut dan untuk mendaftar, sila ke laman di bawah
http://www.interaksidenganallah.blogspot.com

Kem Cuti Sekolah : Motivasi dan Pemantapan Solat

07-11-2008 @ 02:30 :. irsyad,

Pihak kami banyak menerima permintaan untuk mengadakan program semasa cuti sekolah nanti, terutamanya program Motivasi dan Pemantapan Solat untuk remaja. Insya Allah, kami akan berusaha untuk mengadakan program tersebut sekurang-kurang di Kemaman yang disasarkan penyertaan dari remaja sekitar kawasan Kemaman, Paka, Dungun, Cheneh, wilayah Ketengah dan Kuantan.

Program mungkin diadakan selama 3-5 hari bergantung pada keadaan. Buat masa sekarang pihak kami sedang mencari lokasi yang sesuai memandangkan musim hujan dan musim tengkujuh yang dijangka akan melanda Pantai Timur.

Penyertaan mungkin dihadkan kepada 30-40 orang sahaja lelaki dan perempuan berusia 12-17 tahun. Maklumat lengkap mengenai konsep program boleh dirujuk kepada ikon program di sebelah kanan laman ini.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, boleh hubungi pihak kami di 019-9241197 atau 013-9768325.

Apa itu Yoga? - Harian Metro

07-11-2008 @ 02:00 :. irsyad,

YOGA, satu istilah yang sinonim dengan gaya senaman tersendiri mutakhir ini. Jika dulu ia terbatas kepada kaum tertentu, kini pelbagai pihak cuba mengamalkannya kerana dikatakan mendapat ketenangan melalui senaman itu.

Faktor kesihatan dan ketenangan yang diperoleh melalui senaman yoga menyebabkan masyarakat berbilang agama termasuk umat Islam tertarik dan melakukan aktiviti terbabit. Tetapi apa sebenarnya yoga?

Kamus Dewan (Edisi Keempat) menyatakan yoga ialah sistem falsafah Hindu yang bertujuan menyatukan diri dengan tuhan dengan mengheningkan fikiran (seperti dengan bertafakur) melalui beberapa senaman gerak badan dan fikiran.

Baca lagi

Perkongsian Pintar : Program 3 dalam 1

07-11-2008 @ 11:30 :. irsyad,

Dengan kehendak Allah SWT, pihak kami ditawarkan untuk mengadakan kerjasama program oleh sebuah syarikat IT terkemuka di Lebuh Silikon, UPM Serdang Selangor. Program 2 minggu ini menggabungkan 3 elemen berbeza iaitu motivasi, sahsiah Islamiah dan juga kemahiran IT yang disasarkan kepada kumpulan remaja miskin dan remaja bermasalah.

Antara matlamat program ini ialah untuk melahirkan generasi yang berkemahiran, berdaya saing dan berakhlak mulia. Mereka akan dipimpin untuk menceburi bidang IT sebagai sumber rezeki disamping memelihara jatidiri sebagai seorang Muslim.

Alhamdulillah, perbincangan yang diadakan itu sangat positif kerana kedua-dua pihak mempunyai beberapa persamaan dari segi aspirasi dan hala tuju program yang hendak dilaksanakan itu.

“Perkongsian bijak” ini diharapkan akan menjadi kenyataan suatu masa nanti. Mudah-mudahan kertas cadangan yang dikemukakan kepada pihak terbabit akan menerima maklum balas positif demi menyemarakkan usaha melahirkan modal insan yang mempunyai kualiti dalaman dan luaran, insya Allah…

Kursus Meneroka Rahsia Diri di Johor Bharu

07-11-2008 @ 11:00 :. irsyad,

Setelah agak lama tidak mengadakan kursus di Johor, alhamdulillah pada Ahad, 2 Nov. 2008 kursus Meneroka Rahsia Diri telah berjaya dijalankan. Terima kasih kepada En Yasin yang banyak membantu serta En Abu Bakar yang menyediakan pejabat beliau sebagai tempat kursus.

Para peserta kali ini terdiri dari kalangan mereka yang pernah mengikuti pelbagai kursus sebelum ini, yang kebanyakannya adalah kursus berbentuk ‘tenaga dalam’, ‘mind power’ dan seumpamanya. Bahkan ada yang telah mencapai tahap-tahap yang tinggi dalam aliran yang diikuti mereka. Namun, mungkin kerana sifat suka mencari kebenaran dan cintakan ilmu, kursus kali ini agak padat dengan pertanyaan dan perbincangan multi-hala. Sesungguhnya ia amat baik sekali kerana masing-masing dapat bertukar-tukar kefahaman dan pengalaman serta mencari jawapan kepada persoalan-persoalan yang timbul dalam diri masing-masing.

Kursus Pemantapan Budaya Kerja dan Pengurusan Stress SMK Durian Mas

31-10-2008 @ 17:00 :. irsyad,

Buat julung kalinya saya dijemput oleh pihak SMK Durian Mas, AMBS Dungun untuk mengendalikan kursus ini kepada para guru dan kakitangan sekolah melalui Guru Kaunselornya, Puan Roziah.

Oleh kerana sekolah ini masih menjalani pembelajaran sesi pagi dan petang, maka kursus ini telah dibahagikan kepada 2 sesi dengan kumpulan peserta yang berbeza. Sesi pagi adalah untuk para guru dan kakitangan yang bertugas di sebelah petang dan begitulah sebaliknya. Jumlah peserta dianggarkan hampir 100 orang. Turut hadir Tuan Pengetua iaitu Tuan Haji Wan Osman Wan Ibrahim, PK HEM, PK Pentadbiran dan lain-lainnya.

Sesi pagi bermula 9-11 pagi dan petang bermula 3-5 petang.

Dalam masa yang terhad ini, saya cuba sorot tajuk ini dalam konteks bahawa “Kita dicipta adalah untuk diuji Allah SWT. Dunia dan segala isinya adalah ujian bagi kita. Allah SWT mahu menguji siapa yang benar-benar beriman yang layak diktiraf sebagai hambaNya. Dan siapa yang benar-benar menunaikan perjanjiannya ketika di alam Arwah dahulu.”

Baca lagi

Kuliah Maghrib di Masjid Sultan Mahmud Al Muktafi biLlah Shah Dungun

31-10-2008 @ 13:00 :. irsyad,

Alhamdulillah, ini kali kedua saya dijemput menyampaikan kuliah maghrib di masjid ini. Saya bersetuju untuk datang 2 kali sebulan @ kuliah 2 minggu sekali. Walaupun mereka memberi ruang setiap minggu namun kerana kekangan masa, saya tak berani berikan komitmen sekerap itu.

Masjid ini adalah masjid yang terbesar di wilayah Ketengah, telah dirasmikan pada 22 Julai 2005 oleh YDP Agung sekarang, iaitu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Saya belum menggunakan teks khusus untuk kuliah tersebut. Namun fokus saya ialah kepada Ilmu Tauhid Tasawuf dan kepentingan amalan-amalan umum dan khusus (bersilsilah) dalam kehidupan.

Berpinar juga mata kerana ruang masjid yang terlalu luas, lagi pula para jamaah duduk berselerakan. Walaupun jamaah ramai tapi kadang-kadang rasa macam bercakap seorang diri pula… di sini kena pandai-pandailah guna minda dan psikologi diri supaya keadaan itu tidak menjejaskan fokus dan ‘semangat’ kita.

Selepas isya’, saya adakan pula majlis muzakarah ringkas dengan beberapa jamaah yang pernah mengikuti kursus-kursus saya terutamanya di Ketengah. Ia sebagai medan merapatkan ukuhuwah dan menyuburkan semangat mereka dalam mengamalkan apa yang dipelajari dan telah diterima ketika program-program terdahulu. Ilmu jika tak diamalkan ibarat pokok tiada berbuah.

Lagi pula, amalan bersilsilah yang diterima mereka itu sangat penting diamalkan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memperolehi kekuatan jiwa dalam menghadapi ujian-ujian kehidupan.

Semoga Allah SWT sentiasa memberi petunjuk dan menolong kita…

Ceramah PraPerkahwinan 'SmartStart' Kolej Kejururawatan Kuantan

23-10-2008 @ 10:00 :. irsyad,

Saya diajak oleh Dr Samsul, seorang pensyarah Fakulti Perubatan UIAM Kuantan hadir ke ceramah beliau di Dewan Kolej Komuniti Kuantan baru-baru ini. Beliau mengisi slot ceramah “Pra Perkahwinan SmartStart” kepada hampir 50 pelajar Kolej Kejururawatan anjuran LPPKN.

Beliau pernah mengikuti kursus yang saya kendalikan di Kuantan tidak lama dulu. Dan sampai sekarang kami masih berhubung dan bertukar-tukar fikiran. Pada saya banyak juga input-input penting yang dapat saya ambil dari beliau untuk memantapkan isi-isi ceramah yang saya sampaikan.

Kata Guru saya, kita berada di zaman kebanyakan orang mengagung-agungkan hukum akal dalam kehidupan, bukan hukum iman. Segala perkara yang berlaku dan jalan penyelesaian yang diambil, kadang-kadang mengesampingkan aspek iman, sehingga menimbulkan kecelaruan dan kerosakan yang lebih teruk. Iman dalam kehidupan ibarat ruh bagi jasad. Kehidupan yang tidak disandarkan kepada iman, pasti akan membawa seseorang itu jauh dari ketenangan, rahmat dan barakah.

Saya cukup gembira kerana Dr Samsul yang banyak pengalaman itu begitu terbuka orangnya, malah bersedia memberi segala input-input berguna bagi saya memantapkan persembahan kursus-kursus yang pihak kami anjurkan. Insya Allah gabungan ilmu tradisi ulama silam dan sains perubatan moden akan berupaya menanamkan keyakinan masyarakat untuk kembali kepada ajaran agama yang sebenar-benarnya.

Salam Eidul Fitri, Maaf Zahir Batin!

05-10-2008 @ 09:00 :. irsyad,

Dalam kemeriahan dan kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri, biasanya tel bimbit masing-masing tak putus-putus menerima sms. Dan ketika nak balas semula msg biasanya dah ada beberapa ‘template’ yang hanya perlu dipilih sahaja untuk dihantar kepada mereka.

Seingat saya, mulai asar hari terakhir puasa, hp tak putus-putus terima msg ucapan raya. Dan RM10 x 3 keping reload card habis digunakan! Yang confusenya kadang-kadang tak tau sape yg hantar msg tu sebab tiada no itu dalam hp kita.

Dalam kebisingan bunyi msg2 masuk, tiba-tiba saya terima mesg dari no yang buat saya selalu ‘gabra’… msg dari Guru saya!

Bila baca, tak tau tak balas macamana, sebak semacam je rasa hati…

Saya nukilkan di sini msg beliau untuk tatapan kita bersama…

Apalah makna hari raya bagi diri yang terbelenggu dosa ghaflah ini
Di hadapan penuh bahayanya
Terperangkap dalam kesyirikan yang ada pada qalbi, pada ruh dan sirr
Betapa diri dapat selamat jika tiada nur muraqabah dan muwajahah
Dari Yang Maha Esa
Tolonglah hamba ini dengan doa nurani
Agar terbuka kasyaf rahmaniah
sehingga fana dan baqa’
perolehi maqam jama’ dalam lautan tauhid syuhudiah
terbebas dari syirik ananiah

hanya zikir mahabbah dan doa para fuqara’
dapatlah diri ini perolehi kegembiraan

(al-faqir ilaLLah

Syeikh Hj Ibrahim Mohamad Asy-Syathiri
Khadam Pulau Manis)

……………………

Nota : Maaf, belum diizinkan lagi untuk publish gambar beliau. Insya Allah bila dapat izin nanti saya buat paparan besar2!


Selamat Hari Raya & Maaf Zahir Batin dari kami warga Irsyad Training & Consultancy...

Seminar Pemb. Insan KETENGAH : Ramadhan

15-09-2008 @ 10:00 :. irsyad,

Program yang dinamakan “Seminar Pembangunan Insan” ini telah dijalankan sebanyak 2 sesi iaitu pada 4 & 11 Sept. 2008 di Dewan Balora, AMBS. Ia diadakan sempena mengambil berkat bulan Ramadhan al-Mubarak 1429.

Saya dijemput mengisi program berkenaan untuk kedua-dua siri. Ceramah dalam masa 1 jam itu bermula jam 2 ptg dan melibatkan kesemua pegawai dan kakitangan Ketengah.

Saya fokuskan tajuk ceramah kepada konsep “Ramadhan sebagai bulan penyucian jiwa”. Dan sudah tentu ia berkait rapat dengan nilai-nilai dalam kehidupan, pekerjaan dan sebagainya.

Pada saya, sudah banyak pihak sama ada melalui ceramah, media cetak dan elektronik dsb memperkatakan tentang Ramadhan. Dan dalam masa yang terhad itu tak perlulah saya ulang-ulang perkara yang sama. Yang penting saya ingin manfaatkan sebahagian masa itu untuk menyuntik ruh ramadhan ke dalam jiwa hadirin, menyentuh emosi dan rohani mereka akan merasai secebis keinsafan dan kesungguhan untuk memanfaatkan aura Ramadhan untuk membuat “anjakan minda, emosi dan jiwa ke arah kecemerlangan hidup dunia akhirat”.

Maka, di akhir ceramah, saya mengajak mereka bersama-sama mengalunkan istighfar, selawat dan zikir munajat dengan penuh kerendahan hati. Dan diakhiri dengan bait-bait doa munajat yang saya olah semula daripada doa Guru saya di pulau manis.

Alhamdulillah, program yang dihadiri hampir 500 pegawai dan kakitangan Ketengah itu berjalan dengan baik dan pendekatan yang dibuat itu mendapat maklum balas yang positif. Mungkin kerana sebahagian besar di kalangan mereka pernah mengikuti prgram-program saya sebelum ini.

Sesungguhnya hidayah itu Allah subhanahu wa ta’ala yang akan berikan kepada mereka yang Ia kehendaki. Moga-moga Dia akan sentiasa memimpin kita ke jalan yang diredhaiNya, insya Allah.

Motivasi Adikku Sayang SK Sg Ular

5-09-2008 @ 13:00 :. ummu aqel,

Seramai 96 murid-murid Tahun 6 terlibat dalam program selama 2 hari ini. Ia dianjurkan oleh pihak PIBG dengan kerjasama pihak sekolah.

Program ini diharapkan dapat menyuntik semangat dan keyakinan untuk mereka menghadapi peperiksaan PMR tak berapa lama lagi.

Alhamdulillah program ini berjalan dengan lancar walaupun dalam serba kekurangan. Pihak kami amat terharu di atas kesungguhan pihak PIBG di atas kesungguhan mereka untuk memastikan program ini dapat dilaksanakan juga walaupun dah beberapa kali diubah tarikh dan tempatnya.

Kami doakan kejayaan buat adik-adik semua! Insya Allah…

Program Susulan SMK Geliga, Kemaman

27-08-2008 @ 23:00 :. irsyad,

Diadakan pada 27 Ogos 2008 bertempat di Bilik Mesyuarat Sekolah.

Program ini adalah lanjutan daripada Kem Kesejahteraan Diri Pelajar yang diadakan 3 minggu yang lalu. Kehadiran pihak kami kali ini adalah secara percuma sahaja, sebagai suatu khidmat susulan bagi menyegarkan semula semangat perubahan yang tercetus dalam diri pelajar ketika program terdahulu.

Sesi pertemuan dengan adik-adik ini bermula jam 9.30 – 11 pagi. Turut disertai oleh Ustaz Wan Isa dan Puan Rosnani, dua dari tiga orang kaunselor SMK Geliga. Ustaz Wan Isa hanya sempat bersama sekejap sahaja kerana terpaksa bergegas urusan lain.

Sebenarnya saya hanya sempat siapkan bahan perbincangan dan ‘presentation’ kira-kira jam 2 pagi tadi. Nak buat macamana, idea hanya datang masa tu…

Alhamdulillah, sebahagian besar mereka dapat hadir manakala yang ting 3 terlibat dengan program akademik.

Nampak mereka semua gembira bertemu dengan kami dan memberi kerjasama yang baik terhadap beberapa modul yang dijalankan. Bahagian paling mengujakan bilamana saya paparkan semua gambar-gambar dan klip-klip video program dulu untuk segarkan ingatan akan pengajaran yang mereka perolehi dulu. Dari kajiselidik ringkas spontan yang saya buat, kira-kira 80% mengatakan mereka merasai perubahan diri dan masih berusaha untuk membaiki diri sedikit demi sedikit. Moga-moga Allah membantu kita semua, insya Allah.

Puan Rosnani memaklumkan bahawa “Ikrar Jatidiri Remaja” yang kami gunakan dalam program tempohari telah dijadikan bacaan yang wajib pada setiap hari Perhimpunan Sekolah! Malah pelajar-pelajar inilah yang mengepalai lafaz ikrar dan diikuti lebih 1,000 orang pelajar lain… alhamdulillah! Ianya suatu perkara yang kami tidak jangkakan.

Pertemuan ceria dan mesra itu berakhir dengan alunan zikir munajat dan laungan ikrar yang bergema menggegarkan jiwa dan setiap ruang dalam bilik tersebut.

Semoga kita bertemu lagi, insya Allah.

Ceramah Israk Mikraj di Pasir Gajah, Kemaman

24-08-2008 @ 11:00 :. irsyad,

Walaupun dah masuk 22 Sya’ban (23 Ogos), namun semangat dan pengajaran Israk Mikraj tidak hanya terhad untuk dibincangkan di bulan Rejab sahaja. Program ini adalah siri ke-4 program ‘road-show’ anjuran Akademi Damai (ADAM) Kemaman khusus untuk kaum wanita sekitar Kemaman.

Alhamdulillah, surau tempat diadakan program dipenuhi kaum wanita dari semua peringkat umur yang datang dari beberapa kampung sekitar. Saya difahamkan mereka yang hadir itu tidak mengira ‘kumpulan’ @ kecenderungan ‘warna’, semuanya hadir dengan semangat cintakan ilmu dan persaudaraan. Adapun berbeza pendapat dalam beberapa hal, itu tak seharusnya memutuskan silaturahim, mendorong kepada kebencian dan merobek kasih sayang yang akhirnya akan menghancurkan kekuatan ummah.

Kehidupan yang tidak berpaksi kepada Tauhid akan dipengaruhi ammarah dan hasutan syaitan. Maka tiada muafakat ilmu yang diketahui @ dipelajari dengan amal perbuatan dan pegangan dalam hidup. Sebagai contoh, belajar sifat 20 dan sifat Istighna Allah, tapi dalam realiti masih bergantung pada makhluk, berbimbang dengan rezeki tapi tak berbimbang dengan soal iman, soal ibadah diterima @ tidak, soal menundukkan nafsu ammarah ke martabat kehambaan (mutmainnah), soal bagaimana akhir kalamnya dsb.

Kata Abu Darda radhiaLlah seperti dinukilkan oleh Al Imam Al Ghazali rahimahullah dalam Ihya’ Ulumiddin. Kata Abu Darda : “Barangsiapa yang tak pernah merasa bimbang adakah ia akan mati dalam iman @ kufur, maka ia boleh mati dalam kufur!” Na’uzubillah…

Kadang-kadang sifat “ananiyah” atau “keakuan” diri terlalu tebal.. menjadikan ia sombong dengan ilmunya, hartanya, ibadahnya… dan tidak redha dengan takdir Allah bila tak sesuai dengan kehendaknya.

Sesungguhnya kisah Siti Hajar dan anaknya Ismail a.s yang ditinggal Nabi Ibrahim a.s mengandungi seribu satu pengajaran khusus dalam bab Tauhid. “Kalaulah ini perintah Allah, pergilah wahai suamiku…. Sesungguhnya aku yakin Allah tidak akan berlaku zalim kepada hambaNya!” begitulah ungkapan Siti Hajar dengan penuh keimanan.

Dalam dalam usaha ikhtiarnya berlari ke Safa dan Marwah, akhirnya Allah kurniakan air dari hentakan kaki Ismail a.s.. Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah mengajarkan kita, bahawa kita wajib berusaha berikhtiar, namun usaha ikhtiar itu tidak memberi bekas… semuanya adalah kurnia Allah, semuanya takluk dalam Kudrat dan IradahNya...

Dalam ceramah itu saya tekankan juga akan peranan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak remaja masa kini, ketegasan dalam kelembutan, kasih sayang yang jangan sampai merosakkan anak, adab akhlak dengan suami, keberkatan dalam rumahtangga, konsep ibu bapa sebagai teladan dan sebagainya.

Program yang bermula dengan Qasidah Burdoh jam 9.30 pagi itu berakhir kira-kira jam 12 tengahari. Ia disudahi dengan alunan zikir munajat, doa munajat dan bersalam-salaman sambil berselawat.

Program Bina Insan Cemerlang Siri 2/2008

20-08-2008 @ 13:00 :. irsyad,

Siri ke-2 ini melibatkan kira-kira 60 pegawai dan kakitangan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH). Diadakan pada 19 Ogos di tempat yang sama seperti siri 1 dulu, iaitu di Dewan Seminar Kolej Ketengah di AMBS, Dungun bermula 9pg – 5 ptg.

Di sini saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih khususnya kepada En Omar Ismail (Pengurus Bahagian Khidmat Pengurusan), Y.M Hajjah Tg Noraziah, En Zulkifli dan lain-lain lagi di atas kepercayaan yang diberikan kepada pihak kami untuk mengendalikan program ini. Sudah hampir 2 tahun saya diberi kepercayaan oleh pihak berkenaan untuk bersama-sama menjayakan program bina insan kakitangan Ketengah.

Sebelum saya mengambil tempat, en Azmi selaku Kaunselor Bertauliah Ketengah telah memberi taklimat ringkas mengenai AKRAM, iaitu satu badan untuk membantu memberi kaunseling kepada kakitangan yang bermasalah khususnya warga kerja Ketengah. Beliau mengalu-alukan penyertaan dari kakitangan yang berminat demi membantu dan tolong menolong atas jalan kebaikan.

Dalam program kali ini, masa dirasakan amat cepat berlalu. Saya terpaksa melajukan rentak dan skip beberapa modul praktikal yang biasa dijalankan. Namun begitu, amalan selepas solat bersilsilah tetap diberikan agar peserta dapat ‘sesuatu’ untuk dibawa pulang. Jika diamalkan insya Allah akan memancarkan kejernihan pada jiwa dan mudahlah ilmu yang dipelajari itu difahami dan diamalkan dalam kehidupan. Jika tidak, ilmu akan jadi hafalan semata-mata dan tak menggerakkan kepada peningkatan kualiti-kualiti dalaman diri yang menggerakkan perubahan dalam hidup.

Para peserta memberi kerjasama dan komitmen yang tinggi walaupun ada di kalangan mereka pernah beberapa kali mengikuti program saya sebelum ini. Agak sedikit terkilan kerana akibat kesuntukan masa, banyak paparan tak sempat dipancarkan ke skrin dan sesi muhasabah dan zikir munajat terpaksa diringkaskan.

Program disudahi dengan doa dan bersalam-salaman.

Majlis Nisfu Sya’ban di Surau Hj Othman, Chukai

17-08-2008 @ 23:20 :. irsyad,

Saya dan keluarga tiba di rumah hampir Maghrib setelah selesai program di Baru Cheneh. Agak penat juga sebab dah 2 hari bergerak tanpa henti; Kemaman AMBS Dungun -> Kemaman -> Kuala Terengganu -> Cheneh -> Kemaman.

Alhamdulillah, lebih 50 ahli jemaah dan keluarga mereka hadir pada majlis yang diadakan ini. Bacaan yasin dipimpin oleh Hj Khudri Othman, yang merupakan salah seorang anak kepada almarhum Tuan Guru Hj Othman.

Nisfu ertinya setengah atau seperdua dan Sya’ban adalah bulan kelapan dalam perhitungan tahun Hijriyah. Kata Sya’ban berasal dari kata syi’ab (jalan di atas gunung). Dikatakan Sya’ban karena pada bulan itu ditemui berbagai jalan untuk mencapai kebaikan.

Malam Nisfu Sya’ban dimuliakan kerana pada malam itu, dua malaikat yakni Raqib dan Atid, yang mencatat amal perbuatan manusia sehari-hari, menyerahkan catatan-catatan amal tersebut kepada Allah SWT. Pada malam itu pula catatan-catatan itu ditukar dengan yang baru. Hal itu sesuai dengan sabda Rasulullah SAW, “Bulan Sya’ban itu bulan yang biasa dilupakan orang, karena ia terletak di antara bulan Rajab dan bulan Ramadhan. Ia adalah bulan yang diangkatkan Tuhan segala amalan. Saya mahu diangkatkan amalan saya ketika sedang berpuasa.” (Riw. An-Nasa’i dari Usamah, sahabat Nabi SAW).

Di samping itu, pada malam Nisfu Sya’ban turun beberapa kebaikan dari Allah SWT untuk hamba-hamba-Nya yang berbuat baik pada malam tersebut. Kebaikan-kebaikan itu berupa syafaat (pertolongan), maghfirah (ampunan), pembebasan dari azab dan sebagainya. Dengan demikian, malam Nisfu Sya’ban antara lain dinamakan juga malam syafaat, malam maghfirah dan malam pembebasan.

Sehubungan dengan malam Nisfu Sya’ban yang dinamakan juga malam syafaat, Al-Ghazali mengatakan, “Pada malam ke-13 Sya’ban, Allah SWT memberikan kepada hamba-hamba-Nya sepertiga syafaat, pada malam ke-14 diberikan-Nya pula dua pertiga syafaat dan pada malam ke-15 diberikan-Nya syafaat itu penuh. Hanya yang tidak memperoleh syafaat itu ialah orang-orang yang sengaja hendak lari dari pada-Nya sambil berbuat keburukan seperti unta yang lari.”

Malam itu juga disebut malam maghfirah karena pada malam itu Allah SWT menurunkan ampunan-Nya kepada segenap penduduk bumi. Di dalam hadis Rasulullah SAW dijelaskan, “Tatkala datang malam Nisfu Sya’ban, Allah memberikan ampunan-Nya kepada penghuni bumi, kecuali bagi orang yang syirik dan berpaling pada-Nya.” (Riw Ahmad)

Alhamdulillah, majlis berjalan dengan baik. Selepas isya’ diadakan majlis Khatam Tahlil dan Qasidah Burdah. Diakhiri dengan jamuan nasi minyak yang di’sponsor’ oleh pak Awie.

Ceramah Israk Mikraj di Bandar Baru Cheneh, Kemaman

17-08-2008 @ 23:00 :. irsyad,

Untuk kali ke-2 saya dijemput menyampaikan ceramah di atas kepada hampir 100 kaum wanita di sini. Ia diadakan di sebuah surau dalam kawasan felda berkenaan, sebuah surau yang agak sederhana dan terbina hasil dari gootng royong dan sumbangan masyarakat setempat.

Majlis yang diadakan pada 16 Ogos ini bermula kira-kira jam 3 ptg. Ia merupakan siri ke-3 dari 4 siri ceramah dan dianjurkan oleh Akademi Damai (ADAM) Kemaman.

Majlis dimulai dengan alunan Qasidah Burdoh serta zikir munjat yang dipimpin oleh Kumpulan Burdoh Wanita ADAM Chukai, Kemaman. Begitulah rutin dalam setiap ceramah yang diadakan dan sesungguhnya ia memberi kesan yang sangat baik kepada jiwa mereka yang mendengarnya. Ia mampu membangkitkan perasaan cinta dan kasih akan Rasulullah SAW dan mengundang barakah majlis.

Dalam ceramah kali ini, saya memberi fokus yang agak lebih kepada Sirah Rasulullah SAW… dari saat kelahiran sehingga kepada kewafatan Baginda. Diharapkan dengan pengetahuan dan kisah-kisah yang disampaikan, ia dapat meningkatkan penghayatan semua yang hadir terhadap kehidupan, perjuangan, akhlak, kasih sayang yang ditunjukkan Rasulullah saw terhadap umatnya. Maka alunan qasidah dan selawat akan lebih terasa dan membekas di dalam jiwa. Dengannya akan melahirkan kecintaan dan dorongan untuk mengikut jejak dan ajaran Rasulullah saw.

Antara sumber rujukan kisah Baginda saw saya petik dari buku “Biografi Bercahaya Muhammad Rasulullah saw” terbitan Khazanah Al-Linggi, susunan oleh Ustaz Ahmad Lutfi Abdul Wahab Al Linggi cetakan 2008. Banyak juga gambar-gambar yang berkaitan dengan Baginda dipaparkan dalam buku tersebut, dan sebahagiannya tidak dapat dijumpai dalam buku-buku yang lain.

Kursus Pra-Meneroka Rahsia Diri K. Terengganu

16-08-2008 @ 09:30 :. irsyad,

Kira-kira 30 jamaah lelaki Surau Kg Melintang, Merbau Patah, Kuala Terengganu telah turut serta dalam kursus ini yang diadakan pada 15 Ogos yang lalu. Mereka kebanyakan adalah suami dan anak kepada kaum muslimat di kawasan sekitar yang telah menyertai kursus MRD dan PCI yang telah dijalankan sebelum ini di tempat yang sama (surau).

Program bermula selepas solat maghrib dan disambung selepas isyak. Ia tamat kira-kira jam 11 malam. Oleh sebab kesibukan kerja di kalangan mereka dan ketiadaan tarikh yang sesuai, maka ia akan diadakan dalam 2 sesi untuk memastikan modul-modul MRD dapat disampaikan dengan sepenuhnya.

Alhamdulillah, kalangan yang hadir memberi perhatian yang tinggi dan begitu cakna dalam memelihara adab-adab majlis ilmu. Sememangnya adab majlis adalah suatu perkara yang amat dititikberatkan agar sesuatu majlis itu diberkati dan kalangan yang hadir mendapat kefahaman yang sebaik-baiknya.

Insya Allah, program susulan untuk peserta yang hadir akan diadakan selepas Aidilfitri nanti.

Qiamullail di Masjid Sultan Mahmud AMBS Tangguh

16-08-2008 @ 09:00 :. irsyad,

Atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan, program Qiamullail di Masjid Sultan Mahmud Bandar Al-Muktafi Billah Shah yang dijadualkan pada 14 Ogos 2008 terpaksa ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Program ini merupakan anjuran pihak Masjid dengan kerjasama warga Ketengah adalah khusus untuk mereka yang telah mengikuti program dan kursus yang dikendalikan pihak kami dari kalangan pegawai dan kakitangan Ketengah. Pun begitu ia juga dibuka kepada semua jemaah masjid.

Pihak kami diberi kepercayaan untuk memimpin program ini dari awal sampai akhir.

Aturcaranya, sepatutnya bermula isya berjemaah, kemudian diteruskan dengan halaqah zikir tahlil, tazkirah, slide presentation, qasidah burdoh, selawat, muzakarah ilmu. Seterusnya akan disusuli dengan solat-solat sunat, tahajud, zikir dan doa munajat pada jam 3 pagi dan berakhir dengan kuliah subuh.

Insya Allah, jika tiada aral ia akan diadakan pada Ramadhan nanti.

Kem Motivasi SPM 2008 SMK Mak Lagam

10-08-2008 @ 13:00 :. irsyad,

Diadakan pada 7-9 Ogos 2008 bertempat di SMK (Elit) Mak Lagam, Kemaman.

Berdepan dengan lebih 120 pelajar tingkatan 5 yang terdiri dari pelajar cerdik dan pintar bukanlah hal yang mudah juga. Mereka sudah memiliki beberapa kelebihan namun jika tidak dipandu semula ke arah nilai dan akhlak yang sewajarnya, maka mereka boleh terjerumus ke gaung kesombongan, jiwa manja dan sentiasa ingin berada dalam zon selesa.

Mempunyai akal yang bijak IQnya, belum tentu bijak juga EQ dan SQnya. Ia harus ada kesepaduan, jika tidak akan berlaku kepincangan EQ dan SQ walaupun mereka cemerlang di sudut akademik.

Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم : “Allah tidak melihat kepada rupa paras dan amal kamu, tapi Allah melihat kepada HATI kamu.”

Hati yang menjadi tempat pandangan Allah itu haruslah suci dari syirik, merendah diri, bersyukur dan lain-lain sifat mahmudah. Allah tak pandang pada banyaknya ilmu atau cerdiknya akal seseorang itu, tapi melihat kepada kejernihan tauhid dan kesucian jiwanya.

Setiap kejayaan semestinya dipayungi barakah. Barakah akan diperolehi apabila seseorang pelajar itu menjaga hubungannya dengan Allah, beribadah, mengikut ajaran Nabi صلى الله عليه وسلم. Di samping itu, ia menjaga adab khususnya dengan ibu bapa dan guru-gurunya, berakhlak mulia dengan mereka.

Kejayaan dalam akademik hanyalah satu juzuk dari kejayaan dalam hidup. Kejayaan hakiki itu ialah bilamana seorang hamba kembali kepada Allah dalam keadaan nafsu yang tunduk padaNya dan dalam martabat kehambaan (nafsu mutmainnah).

Wallahu ‘alam.

Program Kesejahteraan Diri SMK Geliga, Kemaman

10-08-2008 @ 10:00 :. irsyad,

Diadakan pada 5-7 Ogos 2008 bertempat di Kompleks Rakan Muda, Mak Lagam, Kemaman.

Program ini dinamakan ‘Program Kesejahteraan Diri Pelajar’ dimana peserta yang terpilih adalah pelajar-pelajar dari kalangan tingkat 1-4 Sek Men Keb Geliga, Kemaman. Bagi saya, walaupun mereka yang terpilih itu agak nakal dan kurang berdisiplin, tapi hati mereka sebenarnya baik, prihatin, berani dan cekal. Mungkin dengan bimbingan yang berterusan, kelebihan diri mereka itu dapat dihalakan ke arah jalan yang lebih baik dan memberi manfaat pada diri sendiri dan orang lain….

Bilangan pelajar ialah seramai 50 orang, agak seimbang antara lelaki dan perempuan. Kebanyakan mereka dari latarbelakang keluarga yang agak susah dimana bapa mereka bekerja sebagai nelayan, manakala ibu pula surirumah sepenuh masa atau bekerja membuat keropok.

Selain isteri, turut serta dalam program kali ini ialah Ustaz Sabri, sahabat seperguruan saya. Beliau adalah di kalangan teman yang diberi izin oleh Guru kami untuk memberi khidmat dalam bidang perubatan dan kesenian Islam. Suara beliau, terutama ketika mengalunkan zikir munajat, qasidah burdah, selawat dsb amat menusuk kalbu. Sebab itu, dengan rasa besar hati saya mengajak beliau agar pendekatan motivasi kali ini dipenuhi dengan alunan-alunan zikir dan selawat untuk penyembuhan jiwa dan melembutkan hati yang keras dan degil.

Begitulah antara pendekatan para ulama tasawuf dalam mendidik dan mengasuh manusia. Segala kejahatan dan kebaikan itu bermula di hati. Hati yang gelap dan tiada sinaran cahaya iman akan terus kelam dan tidak dapat melihat kebenaran. Atau mungkin dapat lihat kebenaran namun tiada kekuatan untuk menuruti jalan itu. Hati yang demikian juga akan sentiasa dihembuskan syaitan yang menjadi dalang kepada runtunan nafsu yang jahat.

Sesungguhnya Allah yang memegang hati manusia, Allah jua yang dapat membolak balikkan hati insan. Allah jua yang berkuasa memberi hidayah dan melimpahkan nur Illahi ke dalam hati mereka. Usaha kita yang sedikit itu hanyalah alat untuk meraih perhatian dan pertolonganNya…

Program akhir bersama dengan ibu bapa pelajar selama 1 jam diharapkan mencetus kesedaran dan keinsafan yang lebih mendalam pada kedua-dua pihak. Semua pihak terutama ibu bapa dan pihak sekolah haruslah berganding bahu agar perubahan yang diinginkan di kalangan anak dan pelajar mereka akan kesampaian walaupun mungkin mengambil masa.

Semoga adik-adik semua sentiasa diberi kekuatan untuk membuat perubahan dan sentiasa teguh dengan prinsip-prinsip hidup yang diajarkan dalam program tersebut.

Kami akan sentiasa mendoakan kalian, insya Allah…

Ceramah Isra’ Mi’raj di SMK Kijal, Kemaman

22-07-2008 @ 13:00 :. irsyad,

Hari ini, 31 Julai 2008, saya baru pulang dari SMK Kijal atas jemputan di atas. Ceramah mula jam 11.30 pg dan berakhir jam 1 ptg. Kira-kira 400 pelajar ting.1 dan 2 terlibat dan diadakan di kantin sekolah.

Walau pun keadaan agak kurang selesa ditambah lagi cuaca yang agak panas, terpaksalah saya guna sedikit teknik motivasi untuk mengawal kebisingan dan fokus pelajar. Alhamdulillah, suasana agak terkawal dan diselang selikan dengan soalan kuiz kepada pelajar berkaitan peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu.

Saya cuma sentuh aspek-aspek yang dekat dengan diri pelajar sahaja. Cakap ‘skima’ sangat manalah sesuai… jadi perihal iman, solat, akhlak, perancangan Zionis dan kes-kes keruntuhan iman yang agak menakutkan berlaku di kalangan remaja. Saya tayangkan beberapa klip dan gambar, kes meninggalkan solat dan bergaul bebas, buang anak dsb…

Saya juga bawakan beberapa kes dan fakta yang berlaku di Kemaman khususnya, yang antaranya mampu membuat kita geleng kepala berkali-kali.

Antaranya kes ibu bapa yang ‘redha’ seorang pelajar perempuan ting. 3 (bukan pelajar SMK Kijal) tinggal di rumah mereka berhari-hari. Pelajar perempuan itu merupakan kekasih anak lelaki mereka dan lari dari asrama sekolah sehingga mengundang inisiatif guru perempuan untuk menyuruhnya pulang. Malangnya, guru itu digertak, diancam dan dimaki hamun oleh ibu bapa dan keluarga pelajar lelaki itu, bahkan dalam emosi ammarah menyifatkan ‘mereka (yakni anak lelaki dan kekasihnya itu) sudah hidup seperti suami isteri! Kami lebih tahu bab hukum daripada kamu (guru perempuan itu). Jangan menyibuk!’ Masya Allah…

Saya tak boleh cerita lebih-lebih, kerana saya difahamkan ia dah jadi kes polis. Kes ini memang pelik bin ajaib! Tapi bila fikir-fikir senario akhir zaman ini, ia bukanlah satu hal yang pelik lagi!

Lagi foto

Kuliah Maghrib – Isra’ Mi’raj di Kijal

28-07-2008 @ 23:00 :. irsyad,

Dalam kuliah di sebuah surau taman perumahan di Kijal, saya sempat sentuh 3 perkara sahaja ; Petunjuk keimanan dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj, perihal solat dan kaedah mencapai khusyuk mengikut tasawuf dan konsep ‘taraqi’ rohani ke hadrat Allah yang dikiaskan dari proses yang berlaku itu, dari mula Rasulullah صلى الله عليه وسلم dibelah sehinggalah menghadap Allah di Sidratul Muntaha.

Mudah-mudahan ada kebaikan untuk diri saya dan jamaah yang hadir.

Program Cahaya Iman, Kuala Terengganu

28-07-2008 @ 23:00 :. irsyad,

Program ini diadakan pada Selasa, 30 Julai, dihadiri kira-kira 50 wanita dari satu kumpulan pengajian bersanad di surau Rudhatul Jannah, Merbau Patah, Kuala Terengganu. Bermula jam 8.30 pg dan berakhir jam 12 t/hari. Agak kepenatan juga kerana bertolak dari Kemaman jam 5.30 pg kerana ada program mengejut pada malamnya, maka terpaksa bertolak sebelum subuh ke K. Terengganu.

Agak terharu dan rasa bersemangat dengan peserta kali ini. Mereka dalam lingkungan 30-50-an… penuh tertib, penuh adab dan tawadhu’. Mungkin kerana tarbiyah kak Ani, guru yang mengajar dan mendidik mereka itu…

Dalam suasana sambutan Isra’ Mikraj, saya kaitkan peristiwa itu dengan hal-hal keimanan dan iktibarnya berdasarkan sudut pandang Tauhid Tasawuf. Peristiwa itu juga mempunyai kaitan rapat dengan kaum wanita, penuh iktibar dan motivasi untuk mereka.

Program diakhiri dengan pengizinan amalan bersilsilah, zikir-zikir dan doa munajat yang mengundang keinsafan dan titisan air mata. Mudah-mudahan ilmu yang disampaikan itu jatuh ke hati, meresap ke segenap juzuk jasadiah, menenggelamkan dalam rasa kehambaan yang kudus, meneguhkan tauhid yang terpancar pada setiap perlakuan dalam kehidupan dan terjahan ujian yang datang.

“Harap kalian semua tidak lupa untuk mendoakan kami sekeluarga, agar kita semua dipelihara dari segala fitnah dunia, nafsu, syaitan… selamat dan bahagia dunia akhirat… insya Allah!” pohon saya kepada mereka sebelum berpisah…

Ceramah Israk dan Mikraj Wanita Kijal

28-07-2008 @ 23:00 :. irsyad,

Sebaik selesai majlis penutup Kem Motivasi PMR SMK Mak Lagam, saya terus bergegas ke Kijal, Kemaman kerana harus menyampaikan ceramah berkaitan Israk dan Mikraj untuk kaum ibu. Ia diadakan di sebuah surau dan dihadiri hampir 50 kaum ibu dari kawasan sekitar.

Program ini adalah anjuran Akademi Damai (ADAM) Kemaman, sebuah badan yang memfokuskan aspek pembinaan insan berteraskan pengajian bersanad, tarbiah sufiah dan dakwah berhikmah.

Sebelum ceramah disampaikan, kaum wanita yang hadir mengalunkan selawat Burdoh (syair-syair pujian kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan selawat. Burdoh merupakan satu amalan yang bertujuan membangkitkan kecintaan kepada Baginda, seterusnya mendorong kita untuk mengikut ajaran Baginda صلى الله عليه وسلم. Ia merupakan amalan zaman berzaman dan mempunyai silsilah, diasakan oleh Imam Al-Bushiri rahimahuLLah.

Antara isi ceramah ialah penekanan kepada konsep Tauhid Tasawuf dari peristiwa tersebut, kebenaran khabaran Rasulullah صلى الله عليه وسلم berdasarkan senario masa kini, kepentingan mengukuhkan keimanan dan pengamalan bersilsilah sebagai benteng berdepan dengan gelombang keburukan yang menyerang dari segala penjuru kehidupan.

Sesungguhnya Israk dan Mikraj merupakan peristiwa agung yang harus ditelusuri secara mendalam kerana ia mengandungi rahsia petunjuk kepada hamba cara untuk kembali ke hadratNya, sebagaimana perlakuan Rasulullah صلى الله عليه وسلم dari permulaan hingga akhir perjalanan Baginda. Wallahu 'alam.

Kem Motivasi PMR 2008 SMK Mak Lagam

28-07-2008 @ 23:00 :. irsyad,

Terima kasih tidak terhingga kepada pihak SMK (Elit) Mak Lagam Kemaman, khususnya Tuan Pengetua yang sekali lagi memberi kepercayaan kepada pihak kami untuk mengendalikan Kem Motivasi PMR 2008.

Kem tersebut telah diadakan pada 24-26 Julai baru-baru ini di Bilik Seminar sekolah dan disertai semua pelajar form 3 seramai 114 orang. Sebahagian mereka telah mengikuti kem yang kami kendalikan pada tahun lepas iaitu Kem Motivasi Pengawas dan Program Kesejahteraan Diri. Oleh yang demikian, kem kali ini agak mencabar kerana sebahagiannya mungkin sudah dapat mengagak modul-modul yang bakal dijalankan. Di pihak kami pula, kami memberi ruang dan peluang yang seluas-luasnya kepada mereka untuk ‘berdepan’ dengan cabaran dan modul yang kami jalankan. Dari situ dapatlah nanti kami lihat jika ada perubahan sikap dan kebijaksanaan yang mereka boleh tunjukkan.

Baca lagi

Program Peningkatan Kualiti Kerja di Langkawi

22-07-2008 @ 13:00 :. irsyad,

Pada 18-20 Julai baru-baru ini, saya berada di Langkawi bersama-sama dengan kakitangan Bahagian Khidmat Pengurusan, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH). Kira-kira 2 hari sebelum itu saya menerima panggilan dari En Zul (Pen Pegawai Tadbir) menjemput saya mengisi slot Motivasi dalam jadual.

Saya pada mulanya tak dapat menyertainya disebabkan sudah ada beberapa program lain, namun atas hasrat mereka itu, saya menerimanya. Ini kerana hampir 90% mereka yang turut serta adalah di kalangan mereka yang telah mengikuti program yang saya buat dan agak akrab dengan saya.

Baca lagi

Terharu dan Terima kasih!

10-07-2008 @ 17:00 :. irsyad,

Terharu sungguh menerima emel di bawah :

Assalamualaikum..
Syabas dan tahniah atas usaha dan kejayaan yang dilakukan.
Saya teruja melihat web site Irsyad Training yang penuh dgn aktiviti. Tahniah!

Shamsiah
Kerteh, Terengganu.

Kata Guru saya, terima kemarahan orang itu seribu kali lebih baik dari satu pujian!

Pujian boleh datangkan kesombongan dan suburkan ammarah, seterusnya menghilangkan keikhlasan dan ubudiyyah.

Kami dididik, sebelum menjayakan satu-satu program harus diiringi dengan puasa, solat hajat dan doa.

Seusai program, kami dididik lagi agar membanyakkan pujian kepada Allah dan istighfar, agar hati tidak sombong dengan pujian dan tidak lemah dengan celaan. Hal ini boleh dirujuk dlm surah an-Nasr.

Disebut dalm kitab Ayyuhal Walad, Imam Ghazali rahimahullah, bila ditanya akan muridnya apakah ikhlas? Beliau menjawab : "Ikhlas itu ialah engkau melakukan sesuatu amalan semata-mata kerana Allah, engkau tidak sombong dengan pujian makhluk dan engkau tidak lemah dengan celaan mereka!" Wallahu 'alam.

Walau bagaimanapun, emel dr cik/puan Shamsiah di atas membuat kami teruja dan makin bersemangat untuk meneruskan perjuangan irsyad tc dengan penuh yakin dan tawakal!

Syukrangggg !

Siapa Saya?

Yeah, it´s me! irsyad
Paka, Dungun
Terengganu.

o Lahir 1 Mei 1974 di Kg Bukit Kandis, K. Trg.
o Sek Keb Bukit Tunggal, K. Trg
o Sek Men Sains Sultan Mahmud (SESMA)
o UiTM Dungun, Terengganu
o Pernah berkhidmat di beberapa syarikat swasta dan agensi kerajaan
o 'Open Univ.' Pulau Manis
o Pengurus ITC

DetiK Waktu



Pengumuman

Pihak kami mengalu-alukan sebarang pertanyaan mengenai program dan khidmat yang disediakan oleh Irsyad Training & Consultancy. Sila hubungi 019-9241197 (Yusof). Terima kasih.


Jadual Program


 2/2, Selasa : Kuliah Maghrib di Masjid AMBS, Durian Mas, Dungun
 3/2, Rabu : Kuliah Dhuha Wanita, Masjid Kerteh 1, Dungun
 3/2, Rabu : Kuliah Maghrib di Surau Taman Murni Perdana, Paka, Dungun
 5/2, Jumaat : Kuliah Maghrib Surau Kg Jaya, Kemaman
 6/2, Sabtu : Kursus Meneroka Rahsia Diri (MRD), Pej IPTAF Chukai, Kemaman
 8/2, Isnin : Kuliah Maghrib Surau Perumahan Ketengah Jaya, Dungun
 10/2, Rabu : Kuliah Maghrib Surau Taman Selasih, Kerteh
 13-15/2, Sabtu-Isnin : Program "Cinta & Syukur: Penyucian Jiwa siri 2" Himpunan Keluarga Hj Ishak (One Blood), di Dhe Rhu Beach Resort, Kuantan
 26/2, Jumaat : Ceramah Maulidur Rasul di Masjid Sg Karang Darat, Kuantan
 2/3, Selasa : Ceramah Maulidur Rasul di SMK Ketengah Jaya, Dungun


Perkhidmatan / Kursus












Jom Borak

Pelanggan Kami

 Institut Tadbiran Negara (INTAN) Wilayah Timur
 Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH)
 Pesaka Terengganu Berhad, Bkt Besi, Dungun
 Pejabat Agama Kluang, Johor
 Klinik Kesihatan Kluang, Johor
 Bank Rakyat Caw. Port Dickson
 Takaful Malaysia, Kuala Lumpur
 Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Kerteh, Terengganu
 Klinik Kesihatan, Balok, Kuantan, Pahang
 Yayasan ASNITA
 Kelab Wanita PERMINT, K. Terengganu
 Amanah Ikhtiar Malaysia, Kemaman
 Kelab Kakitangan Telekom Terengganu
 The Aryani Resort, Setiu
 Kolej Jururawat, Hospital Sultanah Nur Zahirah, K. Trg
 Akademi Taekwando Gemilang, K. Terengganu
 Masjid Sultan Mahmud, Bandar AMBS, Dungun
 Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun
 Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam
 Universiti Teknikal Malaysia, Melaka (UTeM)
 Kolej Yayasan Terengganu, Chendering
 Asrama Yayasan Terengganu, Kemaman
 Yayasan Pahang
 Politeknik Sultan Hj Ahmad Shah (Polisas) Kuantan
 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) K. Terengganu
 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan
 SM Sains Sultan Mahmud (SBP), Kuala Terengganu
 SMK Elit Mak Lagam, Kemaman
 SM Teknik, Kuantan, Pahang
 SM Bukit Mentok, Kemaman
 SM Teknik Kemaman, Trg
 dan puluhan sekolah di serata Malaysia

Links

Anda pengunjung ke
unique visitor
sejak 1 Mei 2008


Online