Navigation


"Sucikan dirimu dari segala 'aib... nescaya akan terbuka bagimu pintu ghaib!" - Kalam Hikmah Syeikh Abd. Malik Abdullah (Tok Pulau Manis)

Makluman : Modul-Modul Kursus ini adalah HAK MILIK sepenuhnya KHAZANAH DINIYYAH (KIDI) Pulau Manis dan telah DIBERI IZIN
oleh pihak KIDI untuk pihak kami mengendalikan kursus ini.

Kalam Guru

,

Assalamualaikum w.b.t.

Firman Allah SWT : "Sesungguhnya orang yang bimbang dan takut akan Allah di kalangan hamba-hambaNya ialah orang-orang yang berilmu." (Fathir : 28)

Tiada yang diciptakan Allah akan tiap sesuatu melainkan untuk manusia berfikir dan mengkaji. Dengan bertafakur manusia boleh mengenal Allah SWT.

Mendalami Ilmu, Teknik Pernafasan dan Tafakur Khazanah Ulama membawa para pengamalnya menyelami rahsia dirinya sehingga dapat merasai kebesaran Allah, merasai kerdil dirinya. Mereka juga secara tak langsung dapat menyelami beberapa rahsia alam yang luas ini kerana alam adalah diri manusia, sebagaimana yang diungkap kalam hikmah ahli sufi, "Manusia adalah salinan kepada alam yang besar". Pengamalnya juga akan memahami rahsia-rahsia Sunnah dan ibadah dalam membina tenaga sama ada pada ruh, akal, jiwa dan fizikal.

Ilmu dan amalan ini mempunyai rahsia yang tinggi. Ia biasanya hanya berlegar di kalangan orang tertentu atau ahlinya sahaja. Ia memakan masa yang begitu lama untuk difahami, apalagi dengan beberapa peraturan yang agak ketat dan masa yang terhad, agak sukar orang biasa untuk mendalaminya.

Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, kerana merasakan ilmu dan amalan khazanah para ulama tersebut amat besarnya manfaat pada masyarakat umum, maka telah diolah akan ilmu dan amalan ini dalam bentuk yang mudah difahami dan senang diamalkan. Jika diamalkan dengan bersungguh-sungguh, insya Allah anda akan memiliki kekuatan jiwa, ketenangan hidup, kesihatan yang baik, kecerdasan pemikiran dan beberapa rahsia ilmu hikmat.

Segala kelebihan yang dimiliki, hendaklah bersyukur pada Allah SWT dengan memperbanyakkan sujud pada-Nya, hendaklah sentiasa berpegang teguh dengan syariat dan menjaga hati dengan akhlak ubudiyah. Tiadalah hambaNya yang paling mulia dan hebat di sisi Allah SWT melainkan mereka yang bertakwa.

Disamping itu, anda perlulah juga memelihara beberapa prinsip di bawah :

  • Keimanan yang mendalam
  • Memelihara silaturrahim dan akhlak mulia
  • Menghormati dan memuliakan orang yang memberi ilmu agar memperolehi keberkatan
  • Mempergunakan ilmu untuk kebaikan agama, keluarga, masyarakat, negara dan sebagainya.
  • Bersifat tawadhu’, menjauhi takabur atau menunjuk, mencabar atau merendahkan mana-mana pihak

Apa yang kami mohon hanyalah agar Allah sentiasa merahmati segala usaha ini dan dapat disebarkan untuk memberi manfaat pada hambaNya, amin.

al-faqir ilaLlah Hj Ibrahim Mohamad
Pulau Manis, K. Terengganu