Navigation


,

KUALA TERENGGANU - Kesabaran seorang ayah, Abd. Razak Yusof, 70, yang bekerja sebagai nelayan membesarkan 16 orang anak bagaikan terbalas apabila beliau dipilih sebagai pemenang Anugerah Tokoh Keluarga Mithali Negeri Terengganu 2009 malam semalam.

Menurutnya, resipi kebahagiaan dan kejayaaan hidupnya ialah dengan berpegang teguh pada ajaran Islam dalam mendidik anak-anak dan mempunyai isteri yang soleh.

Lebih membanggakan apabila 11 daripada 16 orang anaknya itu berjaya meneruskan pelajaran ke menara gading.

Berkat kegigihan mendidik dan menjaga anak-anaknya itu, Abd. Razak dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Keluarga Mithali Negeri Terengganu 2009 yang diadakan sempena sambutan Maal Hijrah Tahun 1431 di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini.

Abd. Razak ketika ditemui memberitahu, beliau bersyukur kerana penat lelah menjaga keluarga selama lebih 30 tahun lalu membuahkan hasil apabila melihat kejayaan anak-anaknya tanpa mereka lupa segala jasa kedua-dua ibu bapa.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak menyangka kegigihannya mendapat perhatian kerajaan sehingga diumumkan sebagai Tokoh Keluarga Mithali peringkat negeri kali ini.