Ceramah Isra' Mi'raj di SMK Kijal Kemaman
[Gambar-gambar di bahagian bawah artikel...]
Saya baru pulang dari SMK Kijal atas jemputan di atas. Ceramah mula jam 11.30 pg dan berakhir jam 12 t/hari. Kira-kira 400 pelajar ting.1 dan 2 terlibat dan diadakan di kantin sekolah.
Walau pun keadaan agak kurang selesa ditambah lagi cuaca yang agak panas, terpaksalah saya guna sedikit teknik motivasi untuk mengawal kebisingan dan fokus pelajar. Alhamdulillah, suasana agak terkawal dan diselang selikan dengan soalan kuiz kepada pelajar berkaitan peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu.
Saya cuma sentuh aspek-aspek yang dekat dengan diri pelajar sahaja. Cakap ‘skima’ sangat manalah sesuai… jadi perihal iman, solat, akhlak, perancangan Zionis dan kes-kes keruntuhan iman yang agak menakutkan berlaku di kalangan remaja. Saya tayangkan beberapa klip dan gambar, kes meninggalkan solat dan bergaul bebas, buang anak dsb…
Saya juga bawakan beberapa kes dan fakta yang berlaku di Kemaman khususnya, yang antaranya mampu membuat kita geleng kepala berkali-kali.
Antaranya kes ibu bapa yang ‘redha’ seorang pelajar perempuan ting. 3 (bukan pelajar SMK Kijal) tinggal di rumah mereka berhari-hari. Pelajar perempuan itu merupakan kekasih anak lelaki mereka dan lari dari asrama sekolah sehingga mengundang inisiatif guru perempuan untuk menyuruhnya pulang. Malangnya, guru itu digertak, diancam dan dimaki hamun oleh ibu bapa dan keluarga pelajar lelaki itu, bahkan dalam emosi ammarah menyifatkan ‘mereka (yakni anak lelaki dan kekasihnya itu) sudah hidup seperti suami isteri! Kami lebih tahu bab hukum daripada kamu (guru perempuan itu). Jangan menyibuk!’ Masya Allah…
Saya tak boleh cerita lebih-lebih, kerana saya difahamkan ia dah jadi kes polis. Kes ini memang pelik bin ajaib! Tapi bila fikir-fikir senario akhir zaman ini, ia bukanlah satu hal yang pelik lagi!
|
![]() |
