Navigation


"Ramai manusia berjaya mencipta kejayaan tapi sedikit yang berjaya mencipta kebahagiaan"


Terima kasih kerana sudi melayari laman syarikat kami. Semoga mendapat manfaat dan informasi berguna buat para pengunjung...


Kursus Pemantapan Budaya Kerja dan Pengurusan Stress

30-10-2008 @ 17.00 :. irsyad ,

(Lihat foto di bawah artikel)

Buat julung kalinya saya dijemput oleh pihak SMK Durian Mas, AMBS Dungun untuk mengendalikan kursus ini kepada para guru dan kakitangan sekolah melalui Guru Kaunselornya, Puan Roziah.

Oleh kerana sekolah ini masih menjalani pembelajaran sesi pagi dan petang, maka kursus ini telah dibahagikan kepada 2 sesi dengan kumpulan peserta yang berbeza. Sesi pagi adalah untuk para guru dan kakitangan yang bertugas di sebelah petang dan begitulah sebaliknya. Jumlah peserta dianggarkan hampir 100 orang. Turut hadir Tuan Pengetua iaitu Tuan Haji Wan Osman Wan Ibrahim, PK HEM, PK Pentadbiran dan lain-lainnya.

Sesi pagi bermula 9-11 pagi dan petang bermula 3-5 petang.

Dalam masa yang terhad ini, saya cuba sorot tajuk ini dalam konteks bahawa “Kita dicipta adalah untuk diuji Allah SWT. Dunia dan segala isinya adalah ujian bagi kita. Allah SWT mahu menguji siapa yang benar-benar beriman yang layak diktiraf sebagai hambaNya. Dan siapa yang benar-benar menunaikan perjanjiannya ketika di alam Arwah dahulu.”

Biasanya bila berbicara tentang stres, ia akan bermula dengan takrif, punca, simpton dan akhirnya jalan penyelesaiannya. Ia boleh dirujuk dari banyak sumber dan kaedah penyelesaian secara Islam juga digariskan oleh banyak pihak.

Saya fokuskan punca permasalahan ini dari beberapa sudut ilmu Tauhid dan Tasawuf, dan bagaimana kaedah Ulama Tauhid Tasawuf menangani permasalahan stres ini. Mereka adalah pakar dalam bidang ilmu kejiwaan dan pembangunan diri insan. Kerana segala perkara yang berkaitan dengan masalah hidup manusia, ia berpunca dari kualiti-kualiti dalaman diri manusia yang berpusat di hati, yang kadang-kadang disebut jiwa, ruh, nafsu, spiritual dan sebagainya.

Maka bidang Ilmu Tauhid Tasawuf menekuni persoalan ini dengan cara yang begitu halus, tepat dan menyeluruh. Justeru, adalah sangat patut kita merujuk kepada panduan dan kaedah penyelesaian yang mereka berikan sebagai teras utama dalam menangani persoalan stres ini.

Sudah tentu masa 2 jam tidak mencukupi, sekurang-kurangnya perlukan setengah hari @ sebaik-baiknya 1 hari pagi-petang, barulah hal ini dapat dikupas dengan lebih baik dan modul praktikal dapat dijalankan.

Saya ringkaskan di sini beberapa isu pokok yang pada hemat saya menjadi punca utama kepada masalah stres. Dan penyelesaian utamanya juga harus bermula dari persoalan-persoalan ini.

  • Matlamat dan Tujuan Hidup
  • Prinsip dan Nilai Hidup
  • Hukum Iman vs. Hukum Akal
  • Mengenal Hakikat Diri
  • Mengenal Empat Musuh
  • Memahami Konsep Ujian dan Takdir Allah
  • Kesucian Jiwa
  • Amalan Khusus Bersilsilah
  • Tenaga Iman dan Penggunaannya

Stres hakikatnya bukan suatu perkara yang negatif. Malah sebenarnya ia sebenarnya mencetuskan suatu ‘energy’ yang sangat kuat untuk menolak kita ke hadapan, ke arah kecemerlangan dan kejayaan. Kita boleh membuat PILIHAN. Tapi jika tidak dipaksikan kepada keimanan maka ia boleh menjerumuskan seseorang itu kepada kerosakan sehingga kepada tahap membunuh diri.

Kita hidup di dunia akhir zaman, yang disifatkan Nabi saw sebagai zaman fitnah. Maka jika kita tidak kuatkan iman, teguhkan jiwa dan buka mata hati, nescaya kita akan terperangkap dengan zaman fitnah ini dan menjadi hamba yang dimurkai Allah SWT, na’uzubillah..